Benazir serah senarai suspek serangan berani mati


BENAZIR memberikan sidang akhbar di rumahnya di Karachi semalam serta menyalahkan pihak militan dalam kejadian letupan bom ketika meraikan kepulangannya yang mengorbankan 136 orang.

KARACHI 20 Okt. – Pihak berkuasa Pakistan hari ini memulakan siasatan ke atas senarai suspek yang diserahkan oleh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto berhubung serangan berani mati awal pagi semalam yang menyebabkan 136 orang terbunuh.

Benazir berkata, senarai nama tiga individu yang didakwa terbabit dalam serangan berani mati ke atas perarakan sempena menyambut kepulangannya selepas lapan tahun berada dalam buangan itu telah diserahkan kepada Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

“Saya berkongsi nama-nama itu dengan Jeneral Pervez dan seorang daripada mereka memang dalam pemerhatian pihak berkuasa,” kata Benazir sewaktu ditemu ramah oleh British Broadcasting Corporation (BBC).

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama suspek tersebut.

Sumber Parti Rakyat Pakistan (PPP) pula menyatakan, senarai terbabit meliputi pegawai kanan tentera.

Benazir memberitahu, beliau menerima amaran awal mengenai rancangan serangan oleh anggota Al-Qaeda, Taliban Pakistan serta Afghanistan dan kumpulan militan di Karachi.

Beliau turut menuduh para penyokong bekas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq yang menjadi dalang serangan berani mati itu.

Mohammed Zia merupakan orang yang bertanggungjawab menjatuhkan bapa Benazir, Perdana Menteri Zulfikar Ali Bhutto pada 1977 dan menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya dua tahun kemudian.

Polis memberitahu, mereka sudah menjalankan siasatan tetapi tidak ada tangkapan dilakukan setakat ini.

“Siasatan berada dalam arah yang betul tetapi kami tidak mahu menuduh sesiapa atau menyalahkan mana-mana kumpulan militan.

“Terdapat sedikit bukti dari tempat kejadian tetapi kami tidak akan mendedahkannya,” kata Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi.

Walaupun serangan berani mati itu hampir meragut nyawanya, Benazir berikrar untuk terus tinggal di Pakistan bagi memerangi militan dan bertanding pada pilihan raya Januari ini.

Serangan ke atas perarakan Benazir merupakan yang paling buruk dan mencetuskan keraguan mengenai jelajah pemimpin wanita itu ke seluruh negara.

PPP pula menyatakan, beliau akan melawat kampung halaman keluarganya di Larkana di selatan wilayah Sindh.

“Beliau mengadakan mesyuarat dengan para pegawai parti dan berunding dengan mereka. Program-programnya telah diubah berikutan ancaman keselamatan tetapi serangan bom itu tidak mematahkan semangatnya,” kata pemimpin kanan PPP, Taj Haider.

– AFP

0 comments: