Arab sokong Malaysia sertai sidang damai Asia Barat

Oleh: HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 20 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia mendapat sokongan untuk menyertai pemimpin negara Arab pada sidang damai Asia Barat yang dijangka diadakan di Washington, Amerika Syarikat pada November ini.

Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata, Malaysia yang dijemput menghadiri persidangan itu akan terus memberikan komitmen untuk mencari penyelesaian dan sokongan kepada isu di Asia Barat melibatkan Palestin.

‘‘Saya ingin menyatakan komitmen kita untuk menyokong rakyat Palestin seperti sebelum ini dan apa juga rundingan yang diadakan perlu mengambil kira Palestin sebagai sebuah negara.

‘‘Namun sehingga sekarang, tarikh sidang damai itu masih belum ditetapkan. Saya berterima kasih kerana Malaysia turut dijemput dan pada masa ini, Malaysia mendapat sokongan untuk ke persidangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di pejabatnya di sini hari ini.

Mahmoud kini berada di Malaysia dalam lawatan kerja selama dua hari mulai hari ini sebagai sebahagian daripada program kunjungan beliau ke negara-negara Asia Tenggara.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden Palestin itu ke Malaysia sejak menjawat jawatan tersebut pada Januari 2005.

Persidangan damai Asia Barat itu dirancang dan ditaja oleh Presiden AS, George W. Bush.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memberikan sokongan kepada Palestin apabila menyertai sidang damai itu kerana negara ini berminat untuk melihat perdamaian dicapai di negara tersebut.

‘‘Apa juga masalah yang berlaku akan memberi kesan kepada Barat dan Timur, maka penyelesaian perlu dicari,” katanya.

Namun katanya, beliau percaya apa jua masalah di Palestin adalah perkara yang perlu diselesaikan oleh rakyat negara itu sendiri kerana ia melibatkan masalah dalaman mereka.

‘‘Apa jua masalah dalam negara Palestin sama ada antara Hamas, ia adalah masalah dalaman, bukannya terletak kepada orang luar untuk menyelesaikannya,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, perkara penting ialah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dengan mengambil kira aspek kedamaian, inisiatif dan penyelesaian antara Israel dan Palestin.

Sementara itu, Mahmoud berkata, pertemuan yang diadakan dengan Perdana Manteri memfokuskan kepada isu penting dalam sidang damai yang akan diadakan di Washington kelak.

Katanya, memandangkan Malaysia akan dijemput menghadiri sidang damai itu, adalah penting bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam usaha mencapai perdamaian di Palestin.

‘‘Kami berbincang dengan mendalam mengenai sidang damai itu. Kita mengetahui ia akan diadakan pada bulan November ini tapi sehingga kini tiada tarikh ditetapkan dan tiada jemputan.

‘‘Mulai sekarang sehingga sidang damai itu diadakan, kita akan mencari mekanisme bagi membolehkan keputusan terbaik dicapai dalam persidangan berkenaan,” katanya.

Mahmoud turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan padu kepada Palestin dalam usaha negara itu mencapai kedamaian.

0 comments: