Karachi dalam ketakutan - Kerajaan desak semua pihak henti saling tuduh-menuduh


JENAZAH mereka yang terkorban dalam serangan berani mati di Jalan Karsaz, Karachi kelmarin ditempatkan di rumah mayat untuk dikenal pasti dan dituntut oleh sanak-saudara mereka, semalam. – AFP.

KARACHI 20 Okt. – Menteri Penerangan, Tariq Azim hari ini menegaskan, Pakistan telah mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi Benazir Bhutto dan kerana itu, tidak adil untuk menyalahkan kerajaan berhubung serangan berani mati, semalam.

Katanya, ketika ini adalah penting untuk semua pihak berhenti daripada saling tuduh-menuduh berhubung insiden serangan yang meragut 139 nyawa dan mencederakan lebih 200 mangsa itu.

“Trauma serangan itu menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak mungkin muncul semasa keadaan tenang tanpa kekacauan.

“Sepatunya semua semua pihak tidak saling tuduh-menuduh kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri tersebut yang mendakwa beliau mempunyai senarai nama suspek penyerang dan telah menyerahkannya kepada Presiden Pervez Musharraf.

Jelas Tariq, nama dan pembayang beberapa individu telah disebut tanpa motif atau bukti pembabitan dan ia merupakan perkara yang tidak adil kepada mereka yang dituduh tersebut.

Benazir menyalahkan rangkaian Al-Qaeda dan kumpulan Taliban sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam cubaan membunuhnya menerusi serangan berani mati sewaktu perarakan menyambutnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau turut memberi bayangan bahawa terdapat beberapa pegawai kerajaan atau tentera mungkin terlibat dalam serangan tersebut.

Senarai nama mereka yang mungkin merancang serangan terhadap pemimpin pro- Barat itu dikatakan sebagai satu senarai yang panjang.

Benazir juga mengesyaki serangan itu dilakukan oleh sisa rejim bekas ketua tentera, Zia ul-Haq yang sebelum ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap bapa beliau.

“Setakat ini kami tidak boleh menyatakan ia didalangi Al-Qaeda, tetapi penyiasatan masih berjalan,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Aftab Khan Sherpao.

Rakaman televisyen yang disiarkan semalam turut menunjukkan kepala suspek pengebom berani mati itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dengan rambut keriting dan bermata hijau.

Sementara itu, Karachi yang selalunya sibuk dengan aktiviti lebih 15 juta penduduknya, hari ini bertukar sepi ekoran serangan ganas semalam.

Pusat-pusat membeli belah serta kedai kecil termasuk stesen minyak di kebanyakan kawasan kejiranan masih ditutup sama ada bimbang dengan ancaman keganasan terbaru itu selain ramai yang berkabung dengan krisis berdarah berkenaan.

Di sesetengah kawasan, para penyokong Benazir melahirkan kemarahan dan protes mereka dengan membakar tayar-tayar buruk dan membaling batu ke arah kenderaan yang lalu-lalang.

“Mereka marah dan melahirkan kemarahan itu dengan cara sedemikian,’’ tegas seorang penduduk.

Sementara itu, akhbar The News dalam lidah pengarangnya berkata, serangan itu meningkatkan ketidakstabilan politik di negara yang sedia bergolak ini.

– AP

0 comments: