YANGON 20 Okt. – Myanmar terus mendapat tekanan hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terbaru ke atas junta berikutan tindakan kerasnya terhadap penunjuk perasaan baru-baru ini.
Hukuman itu dikenakan oleh Presiden George W. Bush ke atas pemimpin junta negara itu lewat semalam dan beliau turut menyeru China serta India yang merupakan jiran dan sekutu kuat Myanmar agar meningkatkan tekanan terhadapnya.
Ia merupakan sekatan kali kedua dalam masa empat minggu oleh AS dan setakat ini media negara di Yangon masih mendiamkan diri berhubung tindakan berkenaan.
Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) juga enggan memberi sebarang ulasan berkaitan dengan sekatan baru tersebut.
Bagaimanapun, seorang diplomat yang beribu pejabat di Yangon menyuarakan rasa skeptikal mengenai impak sekatan baru itu ke atas junta.
“Pemimpin junta mungkin akan berasa gementar kerana AS telah meningkatkan tekanan dengan pantas.
“Namun kesan buruk yang dibawa oleh sekatan itu terhad kerana saya rasa pemimpin tertinggi Myanmar tidak lagi mempunyai aset yang banyak di AS,” ujarnya lagi.
Kerajaan junta itu mula merasai tekanan antarabangsa selepas ia menggunakan kekerasan dalam menyuraikan demonstrasi aman yang diketuai sami-sami Buddha pada 26 September lalu.
Tindakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 13 terbunuh sementara lebih 3,000 yang lain ditahan oleh junta.
Pada awalnya, AS telah membekukan aset 14 pegawai kanan junta termasuk ketua pemerintah iaitu Jeneral Than Shwe tetapi hari ini 11 lagi pemimpin junta mengalami nasib serupa.
– AFP
0 comments:
Post a Comment