MOSCOW 20 Okt. – Pendaratan kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke bumi esok, merupakan saat yang membimbangkan pasukan penyelidik tempatan.
Ini kerana ada antara bahan penyelidikan yang dilakukan oleh Sheikh Muszaphar di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) perlu dikekalkan tahap suhunya sebaik tiba di bumi manakala penyelidikan lain pula amat sensitif dengan gegaran.
Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, apabila tiba di bumi, kajian mengenai sel tulang dan sel radangan perlu dikekalkan suhunya pada tahap 30 darjah celsius untuk terus hidup manakala sel kanser, bakteria dan protein pula pada paras 4 darjah celsius.
‘‘Proses pendaratan adalah saat yang penuh dengan risiko dan kit kajian perlu dipindahkan dari Soyuz dengan cermat bagi mengelak hasil penyelidikan rosak terutamanya penyelidikan mengenai pengkristalan protein yang sensitif gegaran.
‘‘Jika bergegar dengan teruk, kristal protein itu boleh pecah,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Salah satu komponen penting dalam Program Angkasawan Negara adalah penyelidikan kerana ia menentukan sejauh mana program tersebut dianggap berjaya.
Penyelidikan itu merupakan kajian yang dijalankan oleh tiga saintis terkemuka negara iaitu A. Rahman, Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman.
Eksperimen yang bakal dijalankan angkasawan negara melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein.
Menggunakan sepenuhnya kelebihan keadaan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan itu akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.
A. Rahman berkata, walaupun bimbang, pihaknya yakin angkasawan pertama negara dan kit penyelidikan akan kembali ke bumi dengan selamat.
‘‘Kit eksperimen itu telah dilabelkan sebagai Urgent Cargo dan akan dibawa terus ke Moscow untuk dianalisis. Ada kajian yang akan dianalisis di Rusia dan ada juga dilakukan di Jepun serta Malaysia,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment