Malaysia sertai rundingan Israel-Palestin

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Malaysia yang komited memperjuangkan isu Palestin terus mendapat sokongan dunia untuk menyertai pemimpin Israel, Palestin dan Amerika Syarikat (AS) pada sidang damai Asia Barat yang dijangka diadakan di Washington, bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia kini mendapat sokongan baik untuk menyertai sidang damai Asia Barat bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.

"Saya menyokong pendirian Palestin (yang akan dikemukakan) pada persidangan (sidang damai Asia Barat) di Washington. Walaupun tarikhnya belum ditetapkan dan ada petunjuk menyatakan Malaysia wajar dijemput menghadiri persidangan itu.


"Ketika ini, sokongan yang diterima untuk Malaysia menyertai persidangan itu amat baik," katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Mahmoud yang tiba jam 11.45 pagi, diiringi Menteri Penerangan, Riyad al Malki dan pegawai kanan Palestin.

Mahmoud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin dalam lawatan kerja dua hari di Malaysia merangkumi sebahagian siri kunjungan ke Asia Tenggara.


Sebelum ini, akhbar melaporkan, pemimpin Israel, Palestin dan AS mengatur langkah dan strategi menyambung sidang damai Asia Barat yang dijadualkan akhir bulan depan dekat Annapolis di Maryland, tidak jauh dari Washington.

Mahmoud dan pemimpin Israel, Ehud Olmert dilaporkan sudah beberapa kali berbincang mengenai isu yang bakal dibawa ke persidangan itu sejak dua bulan lalu.

Anggota perunding Palestin, Saeb Erekat, berkata Mahmoud

dan Olmert mengarahkan perunding masing-masing bertemu bagi mencapai persetujuan isu asas bagi memeterai dokumen yang dapat dibentangkan dalam sidang berkenaan.

Antara lain Mahmoud dilaporkan menyuarakan harapan perjanjian damai Israel-Palestin dimeterai dalam tempoh enam bulan.

Perdana Menteri berkata, komitmen Malaysia untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin masih kukuh seperti dulu.

"Sudah menjadi hasrat kita bahawa dalam apa juga rundingan yang dianjurkan, amat penting rundingan mencakupi seluruh negara Palestin," katanya.

Abdullah berkata, isu yang dihadapi di Palestin perlu diselesaikan rakyat negara itu sendiri tanpa campur tangan pihak luar atau kuasa asing.

Sementara itu, Mahmoud berkata, kunjungannya ke Malaysia antara lain bertujuan menyelaras usaha dua negara membuat persiapan menyertai sidang damai di Washington.

"Kita dimaklumkan sidang damai itu akan diadakan bulan depan tetapi setakat ini belum ada tarikh atau undangan diedarkan.

"Mulai sekarang hingga tarikh persidangan diadakan, kita melakukan koordinasi dan mengenal pasti mekanisme terbaik yang boleh memastikan penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin," katanya.

0 comments: