Pakistan bergegar lagi, 7 maut keganasan terbaru

QUETTA, Pakistan 20 Okt. – Tujuh terbunuh dan 15 yang lain cedera hari ini dalam satu letupan bom di sebuah pasar di wilayah bergolak Baluchistan dalam keganasan terbaru yang menggegar Pakistan.

Letupan berlaku ketika para penumpang sedang menunggu di sebuah hentian mini van di pasar utama di bandar Dera Bugti, barat laut Baluchistan yang dicengkam oleh pemberontakan puak.

“Sebutir bom meletup di sebuah pasar menyebabkan tujuh terbunuh dan enam lagi cedera,” kata jurucakap polis, Hazoor Baksh.

Seorang pegawai tempatan pula memberitahu, 15 orang cedera dan sebuah van musnah dalam letupan di Dera Bugti yang terletak 250 kilometer di tenggara Quetta.

“Kami menyiasat sama ada bom itu dimasukkan dalam van yang diletakkan berhampiran sebuah van penumpang,” kata Baksh.

Keganasan semakin meningkat di Pakistan selepas kerajaan mengarahkan serbuan ke atas Majis Merah di Islamabad pada Julai lalu.

Baluchistan berdepan dengan pemberontakan sejak tiga tahun lalu selepas suku-suku puak menuntut autonomi lebih besar dan mahu mendapat bahagian yang lebih banyak ke atas sumber asli wilayah itu.

– AFP

0 comments: