Siasatan nahas feri siap tiga hari lagi

MERSING 19 Okt. – Siasatan nahas feri Seagull Express yang terbakar dan karam berhampiran Pulau Tioman Sabtu lalu dijangka akan selesai dalam tempoh tiga hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman berkata, laporan siasatan pihaknya yang merangkumi segenap aspek itu akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan pada waktu terdekat ini.

“Siasatan yang kami jalankan berjalan lancar dan ia termasuk melihatnya daripada aspek pengurusan serta mengenal pasti sekiranya jentera feri itu mengalami kerosakan.

“Saya juga telah menemui pemilik syarikat feri itu serta berbincang dengan ahli-ahli jawatankuasa khas siasatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan Video Cakera Padat (VCD) Penerangan Keselamatan Penumpang kepada pengusaha-pengusaha feri di Jeti Mersing di sini, hari ini.

VCD tersebut wajib dipasang setiap kali sebelum feri berlepas bagi membolehkan para penumpang mendapat penerangan keselamatan yang secukupnya.

Tragedi Feri Seagulll Express yang terbakar dan karam di perairan kira-kira 7 batu nautika daripada Pulau Tioman Sabtu lalu telah mengorbankan tujuh nyawa yang mana 103 penumpang dan tiga krewnya terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri tanpa jaket keselamatan yang mencukupi.

Dalam pada itu, menurut Ahmad, beliau menyokong cadangan pembinaan sebuah jeti baru di Mersing bagi menampung kedatangan pelancong yang kian meningkat.

“Jeti ini sememangnya tidak boleh beroperasi semasa air surut, oleh kerana itu, saya menyokong cadangan pembinaan jeti baru itu bagi membolehkan ia turut mempunyai prasarana yang lebih lengkap,” katanya.

Menurut Ahmad, daripada segi penguatkuasaan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Polis Marin serta Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dalam memeriksa tahap keselamatan setiap kapal dan bot.

“Kuasa kami memang terhad di jeti sahaja namun kami sentiasa mengadakan operasi bersepadu dengan agensi lain untuk memeriksa keselamatan kapal-kapal di perairan dari masa ke semasa,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada feri Seagull yang karam itu akan dapat dinaikkan ke daratan, kata Ahmad, perkara tersebut melibatkan kos yang besar selain tempoh yang panjang.

Katanya, dengan feri tersebut karam pada paras 29 meter, pihaknya sukar untuk menaikkan bangkai feri itu.

“Dari segi undang-undang pun, pengeluaran lesen untuk kapal tidak mewajibkan pemiliknya mengambil insurans melainkan ia merupakan kapal tangki minyak,” katanya.

0 comments: