Ada penderma tetapi tidak sesuai untuk Siti Salmah

Oleh: FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 19 Okt. –Doktor terus berharap usaha mencari paru-paru baru untuk Siti Salmah Jasni (gambar), 18, yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari akan berhasil agar dia dapat meneruskan kehidupan secara normal.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus berkata, sehingga kini, tiada penderma organ yang sesuai ditemui untuk gadis itu.

“Sebelum ini, Pusat Sumber Transplan Nasional ada memaklumkan kepada kita bahawa ada penderma tetapi malangnya organ tersebut tidak sesuai dengan Siti Salmah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, doktor akan sentiasa mengikuti perkembangan gadis tersebut dari semasa ke semasa.

Gadis dari Kulai, Johor itu terpaksa menunggu paru-paru daripada penderma walaupun berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan organ itu sejak 2005.

Dia hanya mampu bertahan dua tahun lagi menggunakan tangki oksigen dan rawatan perubatan, ekoran itu dia perlu segera menjalani pembedahan pemindahan paru-paru.

Penyakit Hipertensi Pulmonari mengakibatkan tekanan darah dalam paru-paru Siti Salmah terlalu tinggi hingga menyebabkan badannya sering letih dan mengalami kesukaran bernafas.

Keadaan itu memberi kesan buruk kepada jantungnya dan boleh meragut nyawanya bila-bila masa.

Penyakit yang dihidapi Siti Salmah berada pada tahap empat yang memaksanya bergantung kepada tangki oksigen bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seharian.

Menurut Dr. Ashari, ubat-ubatan yang diambil Siti Salmah bagi menyokong fungsi organ paru-parunya juga mahal dan atas sebab itu, dia memerlukan paru-paru baru secepat mungkin.

“Kita semua amat berharap Siti Salmah akan segera memperoleh paru-paru baru. Namun kita tidak hanya berharap, banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Tambah beliau, bukan mudah untuk mencari paru-paru yang sesuai bagi Siti Salmah, tetapi para doktor yang terlibat dalam usaha itu menganggapnya sebagai satu cabaran bukan masalah.

0 comments: