Junta rangka perlembagaan

YANGON: Pemerintah tentera Myanmar semalam, mendakwa mereka mengambil langkah seterusnya ke arah membina demokrasi dengan merangka perlembagaan baru dan menuduh Amerika Syarikat melatih sami yang mengetuai bantahan bulan lalu.

Junta menamakan 54 orang bagi sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk menulis perlembagaan baru itu selepas lebih sedekad rundingan mengenai garis panduan perlembagaan berkenaan, kata akhbar rasmi, New Light of Myanmar.

Pengumuman itu dibuat berikutan rejim mendapat tekanan global selepas tindakan kejam dilakukan mereka kepada penunjuk perasaan secara aman yang diketuai sami Buddha lewat September lalu apabila 13 orang terbunuh dan 3,000 yang lain ditahan.


Tunjuk perasaan antijunta Ogos lalu dilakukan berikutan kenaikan harga minyak yang tinggi dan bantahan terhadap pemerintahan tentera selama hampir dua dekad.

Berikutan keganasan itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan terhadap junta, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menekan rejim mengadakan rundingan terbuka dengan pemimpin demokrasi, Aung San Suu Kyi yang kini dalam tahanan di rumahnya.

Wakil PBB, Ibrahim Gambari juga melawat negara Asia untuk membina tekanan serantau terhadap junta. Beliau menggesa supaya regim terbabit ditawarkan insentif terhadap balasan mereka melakukan perubahan di negara itu.


Bagaimanapun akhbar negara itu semalam mengkritik Amerika Syarikat dengan mendakwa Washington menjalankan latihan kepada sami dan memaksa mereka mengadakan tunjuk perasaan anti kerajaan.

"Kedutaan kuasa besar itu secara rahsia memberikan latihan kepada sami muda," kata akhbar itu.

"Penduduk tidak menerima arahan sebelah pihak Amerika Syarikat terhadap kerajaan Myanmar," katanya. � AFP

0 comments: