Dr Muszaphar berat hati tinggalkan stesen angkasa

Laporan A Halim Yusof di Moscow


BERTANYA KHABAR: Dr A Rahman (kiri) bersama saintis negara berkomunikasi dengan Sheikh Dr Muszaphar di ISS, di Pusat Kawalan Misi, Moscow, semalam.

Kesihatan baik bolehkan angkasawan negara selesai kajian dengan sempurna

ANGKASAWAN pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berat hati untuk meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) esok kerana sudah semakin selesa menjalani kehidupan istimewa sebagai angkasawan.

"Saya rasa seperti sudah ditakdirkan, saya dilahirkan untuk (berada) angkasa. Memang hebat, kalau boleh saya harap tak perlu pulang," katanya sambil menambah beliau gembira dan menikmati setiap saat kehidupannya sebagai angkasawan di ISS.

Dalam perbualannya dengan Pusat Kawalan Misi (MCC) semalam, beliau berkata demikian kerana hingga kini kesihatannya tidak terjejas dan tidak perlu makan ubat untuk mengatasi mabuk angkasa dan pening. Keadaan itu membolehkannya menyelesaikan semua tugas di ISS dengan sempurna.


Bagaimanapun, beliau akur bahawa tugasnya sudah selesai dan beliau perlu kembali ke bumi esok menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-10 atau dikenali dalam Program ISS sebagai Soyuz-14S, bersama semua spesimen kajian saintifik dan barang simbolik untuk tatapan rakyat.

Sebelum meninggalkan ISS pada jam 11.15 pagi waktu tempatan di sini esok, Dr Sheikh Muszaphar perlu menyiapkan semua dokumentasi kajian saintifik, mengisi borang soal selidik, menamat dan menyimpan spesimen saintifik dalam kotak yang sudah ditetapkan.

Modul pendaratan yang membawa Dr Sheikh Muszaphar bersama dua angkasawan Russia yang sudah berada di sana sejak enam bulan lalu, Fyodor Yunchikin dan Oleg Kotov akan mendarat dalam lingkungan 10km bandar Arkylk, Kazakhstan pada jam 2.37 petang (6.37 petang, Malaysia) iaitu tiga jam 23 minit selepas 'berpisah' dari ISS.


Ketika dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober lalu, kapal angkasa Soyuz TMA-11 yang dipacu roket Soyuz FG mengambil masa dua hari untuk sampai ke ISS. Perjalanan turun lebih cepat kerana Soyuz akan memanfaatkan tarikan graviti bumi sebaik memasuki atmosfera.

Satu pasukan mencari dianggotai konvoi enam helikopter dan kenderaan amfibia tentera Russia akan mencari Soyuz. Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Program Angkasawan Negara, Datuk Dr Mazlan Nordin akan turut serta.

Sebaik ditemui, pasukan mencari dan menyelamat membawa krew Soyuz ke khemah sementara untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Selepas dua jam, krew Soyuz akan dipindahkan ke Kustanai, Kazakhstan, sebuah bandar di sempadan Russia-Kazakhstan dan disambut pegawai Russia. Mereka kemudian dibawa ke Star City, Moscow untuk dikuarantin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis akan menyambut kepulangan angkasawan pertama negara di lapangan terbang tentera berhampiran Star City, Moscow pada jam 8.30 malam waktu tempatan.

Sementara itu, selain meneruskan latihan untuk pelepasan daripada ISS dan pendaratan, Dr Sheikh Muszaphar semalam sibuk dengan aktiviti pemantauan dan mengambil data perkembangan kajian sains yang dilaksanakannya.

Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap ketua saintis yang menghantar kajian ke ISS, Prof Dr A Rahman Jamal, berkata pemantauan diteruskan hingga ke saat akhir antara lapan hingga 12 jam sebelum pemisahan dengan ISS.

"Ini dilakukan bagi memberi lebih masa untuk sel-sel HUVEC (human umbilical vein endothilial cell) dan osteoblast (untuk kajian oestoporosis) membahagi dengan lebih banyak bagi kesan optimum," katanya.

Sepanjang 10 hari di ISS, angkasawan Malaysia membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, serta ujikaji penghabluran protein untuk kegunaan industri dan farmasi.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai segelintir rakyat yang masih mempersoalkan kewajaran penghantaran angkasawan negara ke ISS, Dr Sheikh Muszaphar berkata, tanggapan meleset itu perlu diperbetulkan kerana program itu memberi kesan limpahan lebih besar kepada Malaysia dan rakyatnya.

Katanya, program itu meningkatkan martabat Malaysia di mata dunia setanding negara maju lain yang sudah meneroka angkasa lepas dan pada masa sama mempertingkatkan kemajuan bidang sains dan teknologi negara.

0 comments: