Siti Salmah harap nasibnya sebaik Hui Yee

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Siti Salmah Jasni, 18, yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari berharap nasibnya sebaik penerima jantung, Tee Hui Yee, 14, dengan memperoleh penderma paru-paru dalam masa terdekat.

Baginya, tiada apa yang lebih menggembirakan dalam kehidupannya melainkan mendapat paru-paru baru dan berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akhir tahun ini.

Lebih ceria lagi jika kehidupannya selepas ini, dia tidak lagi bergantung kepada bantuan pernafasan harian sekurang-kurangnya 16 jam dengan tangki oksigen.

‘‘Saya sentiasa berdoa, siang dan malam agar ada insan yang dapat memberi ‘kehidupan baru’ seperti yang diperoleh Hui Yee.

‘‘Keyakinan untuk mendapat penderma paru-paru tetap tinggi walaupun terpaksa menunggu begini,’’ katanya remaja dari Kulai, Johor itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Siti Salmah yang berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005 memerlukan penderma organ itu kerana penyakitnya tidak dapat disembuhkan lagi dengan rawatan biasa.

Kejayaan Hui Yee mendapat jantung baru melalui dua pembedahan pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru memberi harapan baru kepada Siti Salmah untuk menanti paru-paru daripada penderma.

Dia berharap akan ada individu yang sudi mendermakan paru-paru untuknya dalam tempoh terdekat ini memandangkan sudah ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai penderma organ selepas bersimpati dengan apa yang dilalui oleh Hui Yee.

Jelasnya, masalah pernafasan yang dihadapinya juga memaksa dia ‘melepaskan’ beberapa tugasan sekolah di luar kelas yang perlu dibuat untuk beberapa mata pelajaran.

Mujurlah guru-gurunya di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor sentiasa membantu walaupun hakikatnya dia mahu berdikari dalam setiap kerjanya.

‘‘Saya tidak mahu masalah ini sebagai alasan untuk tidak berjaya dalam STPM.

‘‘Saya mahu cemerlang dan membalas semua pengorbanan kewangan dan masa ibu bapa selama ini,’’ ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bantuan yang diterima selepas kisahnya tersiar di akhbar Isnin lalu, Siti Salmah bersyukur dan mengucapkan terima kasihnya kepada inisiatif Utusan Malaysia.

Bapanya, Jasni Zainal, 52, seorang pemandu lori manakala ibunya Sabariah Mustaffa, 49, merupakan seorang suri rumah.

0 comments: