'Penyokong Zia dalang'



TAHAN SAKIT: Mangsa serangan pengebom bunuh diri yang ditujukan kepada konvoi bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto di Karachi malam semalam, menunggu untuk menerima rawatan kecemasan.

Musharraf gesa usah tuding jari, janji tangkap pihak terbabit

KARACHI: Pemimpin pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto semalam menuduh penyokong bekas pemimpin tentera, Allahyarham Mohammed Zia ul-Haq sebagai dalang serangan bunuh diri tengah malam semalam yang meragut lebih 130 orang sejurus selepas kepulangan bekas Perdana Menteri itu ke Karachi.

Manakala, suaminya, Asif Ali Zardari, pula menyalahkan kerajaan Pakistan sebagai dalang serangan bunuh diri disasarkan ke atas isterinya itu.

Kerajaan Pakistan pula menuduh golongan pelampau dengan Presiden Pervez Musharraf berjanji menangkap mereka yang bertanggung jawab dan menggesa agar semua pihak tidak menuding jari.


Dalam temubual disiarkan edisi internet majalah Perancis, Paris-Match, Benazir berkata beliau tidak ragu-ragu yang penyokong rejim Zia bertanggungjawab di atas serangan buruk berkenaan.

Zia yang mati dalam nahas pesawat pada 1988, menggulingkan kerajaan bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto pada 1977 dan mengenakan hukuman gantung ke atasnya.

"Saya tahu siapa yang mahu membunuh saya. Mereka ialah 'orang kenamaan' rejim Jeneral Zia yang mendalangi kegiatan pelampau dan fanatik di Pakistan," katanya.

CEDERA PARAH: Seorang mangsa yang cedera dibantu oleh orang awam selepas terkena letupan serangan pengebom bunuh diri.

Benazir turut mendakwa, ada di antara penyokong Zia terus berpengaruh sehingga ke hari ini dan menganggap kepulangannya dan ikrarnya mengembalikan demokrasi ke Pakistan, sebagai satu ancaman bagi mereka.

Beliau menegaskan, kumpulan ekstremis tidak mungkin terbabit kecuali mereka mendapat bantuan logistik daripada 'orang atasan.'

Sementara itu, dalam wawancara dengan stesen televisyen ARY ONE, suami Benazir segera menuding kerajaan Pakistan sebagai dalang.

"Saya salahkan kerajaan di atas serangan sedemikian. Ini angkara agensi perisikannya. Sehubungan itu kami menuntut kerajaan segera bertindak.

"Ini bukan kerja kumpulan militan tetapi agensi perisikan. Rakyat dan pekerja kita mati sedangkan mereka sudah mengorbankan nyawa demi demokrasi di Pakistan," katanya.

Benazir dijadual mengadakan sidang media lewat semalam berikutan pertemuannya dengan pemimpin Parti Rakyat Pakistan yang diterajuinya.

Sementara itu, Musharraf menyifatkan serangan bunuh diri itu sebagai 'konspirasi antidemokrasi.'

Beliau turut melahirkan rasa amat terkejutnya dengan serangan yang cuma lima meter daripada konvoi membawa kumpulan Benazir dalam perarakan menemui penyokongnya di Karachi.

"Jeneral Musharraf mengecam sekeras-kerasnya serangan itu. Beliau menyifatkannya sebagai konspirasi yang menentang demokrasi. Beliau menggesa semua pihak bertenang dan berjanji melancarkan siasatan terperinci dan memastikan mereka yang terbabit, menerima hukuman sewajarnya," kata agensi berita rasmi Associated Press of Pakistan. � AFP/Reuters

0 comments: