100 ribu risalah WPI diedar kepada rakyat Johor

Salman Hussin
Sat | Oct 20, 07 | 11:20:18 am MYT

PASIR GUDANG, 20 Okt (Hrkh) – Dalam usaha untuk memberi penjelasan berhubung projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), PAS Johor telah menerbitkan sebuah buku kecil yang memuatkan maklumat secara terperinci berkaitan projek tersebut.

Buku kecil yang bertemakan ‘Antara Impian dan Realiti’ ini diterbitkan oleh Lajnah Penerangan PAS Johor, buat permulaan sejumlah 100 ribu naskah telah pun diagihkan kepada kawasan-kawasan untuk diedarkan kepada seluruh rakyat negeri ini.

Majlis pelancaran buku kecil WPI ini telah disempurnakan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, di Taman Saujana Masai, dekat sini.

Hadir sama pada majlis ini, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfods Mohamad, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.

Sempena majlis pelancaran buku kecil WPI ini, turut diadakan penyampaian sumbangan berupa barang makanan dan wang kepada golongan kurang upaya di kawasan Pasir Gudang.

ImageSemasa berucap pada majlis ini Husam berkata, penerbitan buku kecil WPI oleh PAS Johor ini sebagai inisiatif untuk menyedarkan rakyat negeri ini akan risiko yang bakal dihadapi rakyat negeri ini sekiranya projek WPI ini diteruskan.

Katanya, “sejarah telah membuktikan sikap pemimpin-pemimpin Umno yang begitu mudah dibeli, sebagai contoh, dalam urusan penjualan air kepada Singapura, pemimpin-pempin Umno boleh menjual air ini dengan harga yang sangat murah dan membelinya semula pada harga yang begitu mahal.

“Bahkan mereka (Umno) bukan setakat menjual air tetapi mereka turut menjual kawasan takungan dan tadahan air sekali, yang mana di dalamnya terdapat gunung dan bukit bukau yang menjadi khazahan negara," jelasnya.

Katanya, pemimpin Umno sangat mudah untuk menggadai apa saja harta negara demi untuk mendapatkan wang, mereka tidak mementingkan maruah dan kedaulatan negara ini.

“Jika keadaan ini terus dibiarkan maka tidak mustahil suatu ketika nanti sebahagian wilayah Johor akan tergadai kepada kuasa asing sedikit demi sedikit tanpa disedari rakyat," katanya.

Justeru katanya, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini ini berlaku maka rakyat Johor perlu memberi mandat kepada PAS untuk memerintah negeri ini pada Pilihan raya Umum akan datang.

Terdahulu semasa berucap pada majlis yang sama, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, memberitahu, buku kecil ini akan diedarkan kepada semua golongan rakyat negeri ini terutamanya di kalangan pimpinan Umno, Anggota Parlimen, Adun dan juga Pegawai-Pegawai Kerajaan di negeri ini.

“Adalah diharapkan buku kecil yang padat dengan maklumat lengkap berkaitan WPI ini akan memberi kesedaran serta berupaya membuka minda rakyat Johor untuk berfikir serta membuat penilaian terhadap projek WPI ini.

“Selama ini rakyat dibuai dengan berbagai janji manis yang indah-indah belaka sebaliknya kesan negatif yang bakal berlaku berikutan projek WPI ini tidak pernah disebut langsung.

“Atas rasa kesedaran dan tanggungjawab inilah maka PAS Johor berusaha sedaya upaya mengajak rakyat berfikir secara rasional, kita tidak pernah menentang sebarang pembangunan tetapi apa ertinya pembangunan yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat dan negara, lebih-lebih lagi jika sesuatu pembangunan itu terpaksa menggadai dan mengorbankan maruah dan kedaulatan negara," katanya. - mns

0 comments: