Tolong bantu pesakit lain – Hui Yee

KUALA LUMPUR 19 Okt. - “Tolonglah bantu Siti Salmah dan pesakit-pesakit lain juga.”

Ini merupakan petikan dari khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Tee Hui Yee (gambar) , penerima jantung baru itu kepada wartawan Utusan Malaysia berikutan kempen yang dijalankan untuk membantu Siti Salmah bagi mendapatkan paru-paru baru.

Hui Yee sememangnya memahami penderitaan yang dialami oleh Siti Salmah Jasni, 18, yang menghidapi Hipertensi Pulmonari dan berharap ada pihak yang sudi menderma organ itu dalam tempoh terdekat.

Seperti Hui Yee, Siti Salmah juga terdesak untuk menjalani pemindahan, bukan jantung tetapi paru-parunya yang perlu diganti segera.

Ketika ini, Siti Salmah terpaksa bergantung kepada tangki oksigen dan bekalan ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupannya.

Dalam petikan SMS itu juga Hui Yee mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia yang menggerakkan kempen bagi mencari jantung baru untuknya.

‘‘Terima kasih kerana membantu saya mendapatkan jantung baru,’’ katanya.

Ucapan terima kasih itu sebagai tanda penghargaan di atas kempen yang digerakkan oleh akhbar ini pada 29 September lalu bagi menggantikan jantung mekanikal yang dipakainya sejak setahun lalu.

Usaha murni itu ternyata berkesan apabila empat hari selepas kempen tersebut dilancarkan, gadis berkenaan berjaya mendapat jantung baru yang didermakan.

Dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin, Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun itu sudah boleh membuat panggilan telefon serta menghantar SMS kepada rakan-rakannya untuk menyampaikan berita gembira mengenai perkembangan kesihatannya.

Kini, gadis itu terus dilaporkan stabil dan semakin ceria serta bersemangat untuk melalui hari-hari yang mendatang demi mengejar cita-cita.

Peluang Hui Yee untuk kembali ke sekolah juga semakin cerah setelah tiga tahun gadis itu meninggalkan alam persekolahan.

0 comments: