Oleh Sahlina Sahkirin
MAYAT TERAKHIR: Anggota penyelamat membawa mayat Choong Yoong Kim di jeti untuk dibawa ke Hospital Mersing. |
MERSING: Mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman, Pahang, Sabtu lalu juga ditemui di antara Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil, semalam.
Mayat Choong Yoong Kim, 43, dari Klang, Selangor ditemui kira-kira 30 meter daripada mayat kedua, Wong Hann Wen, 29, yang ditemui kelmarin, iaitu kira-kira tujuh batu nautika dari tempat kejadian.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Kapten Tan Kok Kwee, berkata mayat berkenaan dikesan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Sungai Besi dalam keadaan terapung, kira-kira jam 12.05 tengah hari.
Beliau berkata, mangsa yang masih berseluar pendek coklat hingga ke paras lutut ditemui di perairan Johor iaitu antara Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil, iaitu kira-kira enam batu nautika dari Pulau Jahat.
"Operasi SAR hari ini (semalam) sedikit tergendala disebabkan cuaca buruk sehingga terpaksa mengambil masa lama untuk membawa mangsa pulang berikutan perlu berhati-hati mengharungi laut yang bergelombang.
"Sebaik mayat mangsa ditemui Unit Udara PDRM, kami mendapat bantuan polis marin yang terpaksa mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk ke lokasi penemuan berkenaan berikutan cuaca tidak mengizinkan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Kuantan berkata, mayat mangsa kemudian dinaikkan di Jeti Sungai Mersing kira-kira jam 5 petang sebelum dihantar ke Rumah Mayat Hospital Mersing, di sini untuk dibedah siasat dan pengecaman keluarga.
Katanya, operasi SAR kini ditamatkan sebaik saja mayat mangsa terakhir yang ditemui itu disahkan keluarga mangsa.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi ini kerana memberikan bantuan sepenuhnya kepada saya," katanya.
Dalam kejadian jam 1.30 petang Sabtu lalu, feri Seagull Express 2 yang membawa 103 penumpang, terbakar dan karam kira tujuh batu nautika dari Jeti Genting, Pulau Tioman.
Kejadian yang berlaku ke atas penumpang feri yang dalam perjalanan dari Jeti Mersing ke Pulau Tioman itu menyebabkan tujuh penumpang terkorban dan empat penumpang lain cedera parah.
Mangsa yang maut ialah Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, pasangan suami isteri dari Klang, Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.
Selain itu, tiga penumpang lain yang sebelum ini hilang ialah Wong Soong Leng, 37, Choong Yoong Kim, 43, kedua-dua dari Klang dan Wong Hann Wen, 29, berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Sementara itu, abang mangsa, Choong Kim Fatt, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk anggota SAR kerana berhasil menemui mayat adiknya.
Beliau berkata, kesabaran mereka menunggu sejak seminggu lalu akhirnya dimakbulkan Tuhan apabila mayat adiknya berjaya sampai di Jeti Mersing, di sini kira-kira jam 5 petang.
"Setiap hari saya sekeluarga berdoa supaya adik saya dapat ditemui sama ada hidup atau mati," katanya.
0 comments:
Post a Comment