Konvoi Benazir dibom


SUASANA KECOH: Penyokong Benazir bergegas turun menyelamatkan diri selepas serangan bom bunuh diri di Karachi, kelmarin.

Bekas Perdana Menteri Pakistan terselamat dalam serangan bunuh diri

KARACHI: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto terselamat dalam serangan bunuh diri yang disasarkan kepadanya di sini, tengah malam kelmarin tetapi meragut sekurang-kurangnya 136 nyawa penyokong dan polis serta hampir 400 lain cedera.

Benazir, yang menyertai konvoi sambutan kepulangannya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan kira-kira lima meter dari tempatnya, membabitkan dua letupan � bom tangan dilemparkan ke arah orang ramai, disusuli tindakan penyerang meletupkan diri, disifatkan antara terburuk di Pakistan.


Sejurus selepas letupan, pemimpin parti pembangkang itu segera dibawa pasukan keselamatan meninggalkan lori yang diubah suai bagi membawanya dari lapangan terbang ke jalan raya di Karachi, bandar terbesar Pakistan yang sesak dengan ratusan ribu penyokong Benazir.

Beliau dibawa ke rumah keluarganya dan membatalkan semua rancangan menemui penyokong dalam perarakan baru, semalam.

Setakat ini tiada sebarang pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu tetapi Benazir menyalahkan penyokong bekas pemimpin tentera, Allahyarham Mohammed Zia ul-Haq sebagai dalang serangan berkenaan.

DETIK CEMAS: Benazir dibawa penyokongnya menaiki kenderaan ke tempat selamat.

Pegawai kanan polis, Manzoor Mughal, yang terbabit dalam siasatan, berkata pihaknya sudah menemui kepala penyerang bunuh diri itu dan ujian DNA sedang dilakukan. Bahan letupan seberat 15 hingga 20 kilogram digunakan dalam serangan itu.

Polis turut mengumumkan wang ganjaran lima juta rupee (RM278,800) bagi sebarang maklumat sehingga tertangkapnya dalang berkenaan.

Tompokan darah dan cebisan mayat bertaburan di sekitar tempat kejadian ketika pegawai perubatan bergelut mengendalikan bilangan mangsa serangan itu. Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya lima hospital Karachi berkata lebih 130 mati dan 400 lain cedera.

"Senario itu tidak ubah seperti melintasi rumah mayat. Keadaan amat mengerikan, ada mayat yang sempurna, manakala yang lainnya tidak dapat dikenali langsung," kata seorang wartawan Agence France-Presse (AFP) yang turut menyertai rombongan Benazir.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Benazir kembali dari buangan. Beliau menitiskan air mata ketika buat pertama kali menjejakkan kaki di tanah airnya sejak hidup dalam buangan pada 1999, dengan menepis amaran bahawa kumpulan al-Qaeda dan Taliban mahu membunuhnya.

"Ini satu tindakan keganasan yang mensasarkan Benazir selain bertujuan mensabotaj proses demokratik," kata Menteri Dalam Negeri, Aftab Sherpao tetapi tidak menyatakan kumpulan mana bertanggungjawab.

Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi berkata sebutir bom tangan dilemparkan ke arah orang ramai sebelum penyerang meletupkan dirinya. "Corak serangan itu menunjukkan ia sememangnya dirancang secara teliti dan dilakukan pakar," katanya.

Anggota polis, Falak Ahmad berkata Benazir sedang melambai ke arah orang ramai yang berkumpul di tepi jalan bagi meraikan kepulangannya di Karachi, bandar kelahiran pemimpin itu.

"Benazir sedang turun ke bahagian tengah lori yang terbuka itu apabila letupan berlaku. Letupan itu cuma lima meter jaraknya dari lori berkenaan. Sebelum itu, Benazir berada di bahagian dalamnya. Letupan itu terlalu kuat sehinggakan memusnahkan tiga kereta peronda polis," katanya.

Penyokong Benazir yang kelihatan terkejut, bertempiaran lari mencari saudara mara serta membantu mangsa untuk dibawa ke hospital. - AFP/Reuters

0 comments: