Sheikh Muszaphar dijadual pulang ke bumi Ahad

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dijadualkan pulang ke bumi Ahad ini bersama dua angkasawan Rusia, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov dengan kapal angkasa Soyuz TMA-10.

Yurchikhin dan Kotov berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sejak 9 April lalu setelah berlepas dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dengan Soyuz TMA-10 dua hari sebelumnya.

Sheikh Muszaphar, Yurchikhin dan Kotov dijangka mendarat di Arkylk, Kazakhstan.

Jika perjalanan ke ISS memakan masa dua hari, pergerakan pulang ke Bumi pula mengambil tempoh yang singkat iaitu tidak sampai empat jam.

Sementara itu, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan siaran langsung kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menerusi televisyen, Ahad ini.

Ketua Komunikasi TV, Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (Astro), Tammy Toh berkata, siaran langsung tersebut boleh ditonton menerusi saluran 588 Astro, Angkasa1 dan semua stesen televisyen utama.

Menurut beliau, pihaknya akan menyiarkan detik bersejarah sewaktu pintu kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang membawa Sheikh Muszaphar dan dua angkasawan Rusia ditutup, iaitu pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun, tambah beliau, visual perjalanan kapal angkasa dari ISS ke bumi tidak akan disiarkan di televisyen.

‘‘Pihak kami akan menyambung semula siaran sebaik sahaja Soyuz selamat mendarat di Bumi.

‘‘Waktu pendaratan tidak dapat disahkan kerana ia bergantung kepada cuaca dan keupayaan teknikal, namun kami dimaklumkan ia akan berakhir di antara pukul 11 pagi dan 7 malam,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tammy memberitahu, pihaknya tidak akan mengadakan sebarang majlis khas sempena kepulangan tersebut seperti yang dilakukan sewaktu detik pelancaran angkasawan negara ke angkasa lepas pada 10 Oktober lalu.

0 comments: