Bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM2.5j

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, memerintahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana penahanan salah 57 hari dan diserang serta dicederakan pada September 1998.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat perintah itu selepas membenarkan saman Abd Malek Hussin terhadap bekas Asisten Superintendan (ASP) Borhan Daud; bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dan Kerajaan Malaysia pada 16 Mac 1999.

Beliau memerintahkan defendan membayar RM1 juta untuk ganti rugi am bagi penahanan salah, RM1 juta dan ganti rugi am bagi kecederaan dan perubatan serta RM500,000 bagi ganti rugi teladan.


Difahamkan, ini kali pertama mahkamah memerintahkan ganti rugi bagi seorang tahanan ISA.

Dalam penghakimannya, Mohd Hishamudin berkata, penahanan dan pengurungan plaintif oleh polis tidak sah kerana dia tidak dimaklumkan oleh defendan pertama alasan penahanannya seperti dikehendaki Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, defendan juga gagal memuaskan hati mahkamah apabila tidak mengemukakan butiran dan bukti berhubung aktiviti plaintif bagi membolehkannya ditahan mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Abdul Malek yang juga bekas Setiausaha Kerja Pas pusat menuntut ganti rugi RM30 juta kerana mendakwa polis bertindak ganas terhadapnya ketika dalam tahanan.

Beliau ditahan pada 25 September 1998 berhubung kes penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

0 comments: