Mangsa keenam korban tragedi feri ditemui

Oleh KAMIL MASLIH

MERSING 18 Okt. – Korban keenam nahas feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Tioman Sabtu lalu ditemui hari ini di kawasan berhampiran Pulau Jahat iaitu kira-kira 10 batu nautika atau 18.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Wong Hann Wenn, 29, ditemui dalam keadaan sudah reput pada pukul 11.15 pagi oleh sepasukan anggota Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang menaiki kapal peronda Kilat 34.

Ketua Koordinasi Operasi Menyelamat, Kapten Maritim Tan Kok Kwee berkata, mangsa ditemui terapung di 6.5 batu nautika (12.04 kilometer) arah selatan dari Pulau Jahat.

“Mangsa dijumpai sepasukan anggota APMM yang diketuai Laskar Kanan Maritim, Ridzwan Che Leh pada pukul 11.15 pagi semasa melakukan rondaan.

“Ketika ditemui, mayat mangsa yang memakai kemeja T warna kelabu dan seluar jean biru didapati telah reput,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penemuan mangsa yang berasal dari Kelantan itu adalah yang terbaru selepas mayat Wong Soong Leng, 37, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat semalam.

Operasi mencari dan menyelamat kini ditumpukan bagi mencari seorang lagi mangsa yang dilaporkan masih hilang iaitu Choon Yoong Kim, 43.

Tragedi Feri Seagulll Express 2 yang terbakar dan karam di perairan kira-kira 7 batu nautika (12.9 kilometer) dari Pulau Tioman Sabtu lalu sehingga kini meragut enam nyawa termasuk Hoo Lee Han, 67, Hong See Tiew, 51, Teh Siew Lian, 52, dan Tee Moi@Haw Lee Maoi, 68.

Menurut Kok Wee, mayat mangsa yang dibawa ke Jeti Mersing dikenal pasti oleh ahli keluarganya dan kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Mersing untuk dibedah siasat.

Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan melibatkan 120 anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta APMM.

“Kami berharap menemui mangsa yang masih hilang dalam tempoh terdekat ini dengan tumpuan di beberapa lokasi yang berhampiran penemuan mayat sebelum ini,” katanya.

0 comments: