Benazir pulang dari buangan


Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto melambai kepada lebih 250,000 penyokong yang menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Karachi, Pakistan semalam. – AFP.

KARACHI 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pulang ke Pakistan hari ini, menamatkan tempoh lapan tahun hidup dalam buangan untuk melancarkan apa yang diharapkan bakal menjadi kemunculan semula kerjaya politiknya.

Pesawat komersial yang membawa Benazir dari Dubai selamat mendarat pada pukul 1.45 petang (4.45 petang waktu Malaysia) di Karachi dengan disambut ribuan penyokong, dianggarkan sekitar 250,000 orang.

Sebahagian pengikut setia Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang mengiringi beliau dari Dubai bertepuk tangan dan bersorak ketika roda pesawat mencecah landasan sehingga gemanya menenggelamkan bunyi enjin kapal terbang.

Benazir, yang meninggalkan Pakistan pada 1999 ketika menghadapi dakwaan rasuah, memilih untuk kembali ketika saat-saat politik Pakistan dalam keadaan tidak menentu dan bergolak.

Dengan pilihan raya dijadualkan diadakan pada Januari ini, beliau berharap dapat berkempen untuk menjadi Perdana Menteri bagi penggal ketiga seiring dengan Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

Sempena kepulangannya, pihak berkuasa telah melancarkan operasi keselamatan besar-besaran bagi melindungi pemimpin wanita berusia 54 tahun itu daripada kemungkinan serangan militan.

Namun ia tidak menghalang orang ramai berhimpun di Karachi dengan ratusan bas dan kenderaan yang dilekatkan dengan ucapan mengalu-alukan kepulangan beliau diletakkan di sepanjang jalan raya dari lapangan terbang hingga ke pusat bandar.

Benazir telah membuka laluannya untuk pulang melalui rundingan dengan Pervez yang berkuasa sejak rampasan kuasa 1999.

Rundingan antara kedua-duanya membabitkan pengampunan terhadap kes rasuah Benazir dan mereka dijangka bergabung untuk menentang pengaruh Taliban dan Al-Qaeda dalam politik Pakistan.

Sebelum berlepas meninggalkan Dubai, Benazir berkata, kepulangannya kali ini seperti suatu keajaiban.

“Saya berharap, dengan berlakunya keajaiban, keajaiban akan berlaku ke atas penduduk yang miskin dan mahukan perubahan, rakyat yang mahukan keselamatan dan keamanan serta pekerjaan,” katanya.

Benazir yang pernah memimpin dua kerajaan antara 1988 dan 1996 digulingkan berikutan dakwaan rasuah serta penyelewengan dan beliau berharap dapat mencatatkan kemenangan pada pilihan raya umum Januari ini.

– AP

0 comments: