Penyelidikan di ISS lembaran baru bidang perubatan

MOSCOW 18 Okt. – Penyelidikan yang dijalankan oleh angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bakal membuka lembaran baru bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik.

Bagaimanapun, Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, kaedah perubatan itu tidak boleh dicapai dalam masa terdekat kerana perlu dianalisis sekembalinya Sheikh Muszaphar dari ISS.

‘‘Semua hasil penyelidikan akan dianalisis dengan lebih mendalam. Kajian di ISS sebenarnya akan menambah ilmu atau disiplin baru dalam bidang perubatan.

‘‘Mungkin pada masa akan datang, selepas ilmu baru itu berkembang, kita akan dapat menghasilkan kaedah menyembuhkan penyakit kronik, misalnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Satu komponen penting dalam Program Angkasawan Negara adalah penyelidikan kerana ia menentukan sejauh mana program tersebut dianggap berjaya.

Penyelidikan itu merupakan kajian yang dijalankan oleh tiga saintis terkemuka negara iaitu Dr. A. Rahman; Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman.

Eksperimen yang bakal dijalankan angkasawan negara melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan mik- rograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan juga akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

Dr. A. Rahman berkata, penyelidikan yang dihantar ke ISS telah menjalani pelbagai saringan pemilihan yang mempunyai penetapan tertentu.

‘‘Pihak Agensi Angkasa telah menerima 50 cadangan penyelidikan namun tiga yang dipilih berdasarkan kesesuaian pelbagai perkara termasuk faktor kadar berat dan peralatan yang digunakan semasa di ISS,” katanya.

0 comments: