Kerajaan disaran bina jeti baru di Mersing

MERSING 18 Okt. – Kementerian Pengangkutan diminta mempertimbangkan cadangan membina sebuah jeti baru di Mersing bagi memenuhi keperluan pelancong ke Pulau Tioman serta pulau-pulau berhampiran yang semakin bertambah.

Pembinaan jeti baru itu diharap dapat mengatasi masalah prasarana terhad di jeti sedia ada yang menyebabkan syarikat-syarikat pengusaha feri gagal menambah bilangan perjalanan sepatutnya.

Cadangan tersebut diyakini dapat mengelakkan masalah bilangan penumpang berlebihan seperti tragedi feri Seagull Express 2 yang terbakar dan karam Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, beliau menyokong cadangan berkenaan kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan industri pelancongan di Johor malah juga di Pahang.

“Saya menyokong cadangan ini kerana Jeti Mersing selama ini memainkan peranan yang besar membawa pelancong-pelancong dari selatan ke Pulau Tioman yang terletak dalam kawasan Parlimen Rompin.

“Malah menerusi perbualan telefon dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, beliau juga bersetuju dengan cadangan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jamaluddin sebelum itu, melawat keluarga korban terbaru nahas feri berkenaan, Wong Hann Wenn, 29, di Hospital Mersing di sini hari ini.

Beliau yang hadir untuk mengucapkan takziah turut menasihatkan bapa mangsa, Wong Yan Sing, 69, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan agar banyak bersabar dalam menghadapi dugaan tersebut.

Menurut Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, beliau akan menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan untuk menyarankan kajian pembinaan jeti baru itu.

“Saya difahamkan yang jeti berkenaan menghadapi masalah dari segi prasarana dan juga lokasi kerana feri-feri tidak boleh memasukinya sewaktu air surut.

“Perkara ini menyukarkan syarikat-syarikat feri untuk meningkatkan jumlah perjalanan dan ia juga menyumbang kepada masalah kesesakan penumpang dalam feri,” katanya yang turut melawat Pulau Tioman sebelum tiba di Mersing.

Jelas beliau, dengan industri pelancongan negara yang semakin berkembang, kerajaan sewajarnya meningkatkan lagi prasarana bagi membantu memperluaskan lagi industri tersebut.

“Saya berharap masalah seperti ini dapat diatasi kerana masyarakat di Pulau Tioman juga bimbang tragedi yang berlaku itu boleh menjejaskan industri pelancongannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua MCA Bahagian Mersing, Ng See Tiong berkata, cadangan untuk membina jeti baru itu telah dikemukakan oleh pihaknya pada 2004 dan juga sekitar 90-an.

“Kami difahamkan Kementerian Pengangkutan telah bersetuju dengan permohonan itu namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Parit Yaani.

Tragedi feri Seagull Express yang terbakar dan karam kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman Sabtu lalu telah mengorbankan enam nyawa dengan seorang lagi dilaporkan hilang.

Nahas feri yang membawa lebihan penumpang itu telah mengakibatkan 103 penumpang dan tiga krew kapalnya terpaksa terjun ke laut bagi menyelamatkan diri tanpa jaket keselamatan yang mencukupi.

0 comments: