Benazir diarak dengan lori khas


BEKAS Perdana Menteri, Benazir Bhutto melambai tangan ke arah penyokongnya sewaktu beliau diarak bersama pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) dengan sebuah lori yang diubah suai khas dengan adang-adang kalis peluru di Karachi, sekembalinya beliau ke tanah air, semalam. – AFP.

KARACHI 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang tiba di Pakistan hari ini selepas lapan tahun berada dalam buangan telah diarak menggunakan lori yang diubah suai khas.

Beliau telah menaiki lori tersebut ketika dibawa melalui Karachi sambil disambut beratus-ratus ribu penyokong.

Lori yang membawa Benazir dipasang dengan adang-adang kalis peluru bagi membolehkan beliau menaiki kenderaan itu sambil melambai-lambai tangan ke arah orang ramai dan penyokong yang berhimpun di Karachi.

Dianggarkan lebih 250,000 penyokong setia Parti Rakyat Pakistan (PPP) membanjiri Karachi bagi menanti kepulangan pemimpin wanita bermazhab Syiah ini.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa turut mengetatkan kawalan keselamatan di sepanjang laluan dari lapangan terbang ke kawasan perkuburan tempat ayahnya, Zulfikar Ali Bhutto disemadikan berikutan ancaman Taliban dan Al-Qaeda.

Sementara itu semasa ditanya ketika pesawat yang membawa hampir mendarat di lapangan terbang Karachi, Benazir berkata: “Saya sangat teruja, sangat gembira dan sangat bangga.”

“Kami perlu hidupkan demokrasi di Pakistan,” tambahnya.

Sejak bertahun-tahun lalu, Benazir telah berjanji untuk menamatkan pemerintahan diktator tentera di Pakistan, tetapi kepulangan kali ini menyaksikan beliau menjalinkan kerjasama dengan Presiden Jeneral Pervez Musharraf yang merampas kuasa pada 1999.

– AFP

0 comments: