Benazir pulang ke Pakistan walau diancam bunuh



DAPAT SOKONGAN: Benazir (tengah) disambut meriah penyokongnya selepas tiba di Karachi, semalam.

KARACHI: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, yang tinggal dalam buangan selama lapan tahun, tiba di tanah airnya semalam tanpa mengendahkan ancaman bunuh oleh al-Qaeda untuk mengganggu sambutan besar-besaran daripada ratusan ribu penyokongnya di lapangan terbang.

Pesawat komersial yang membawa Benazir dari Dubai mendarat kira-kira jam 1.45 petang waktu tempatan di Karachi, bandar raya terbesar di Pakistan, yang berubah menjadi kubu oleh pasukan keselamatan di tengah-tengah kebimbangan pengebom bunuh diri mungkin cuba membunuhnya.

Benazir pulang selepas Presiden Pervez Musharraf bersetuju menggugurkan dakwaan rasuah terhadapnya, ketika pemerintah tentera itu sendiri berhempas-pulas untuk kekal berkuasa di tengah-tengah kemarahan rakyat.


Berusia 54 tahun, wanita pertama pernah memimpin negara Islam itu, keluar dari kapal terbang dengan diiringi laungan 'Panjang Umur Bhutto' oleh penyokongnya. Dengan linangan air mata, Benazir berkata dia berasa �amat seronok� dapat kembali dan menjejakkan kaki di bumi Pakistan buat kali pertama dalam masa lebih lapan tahun.

"Saya sudah tua, saya banyak belajar lebih 20 tahun lalu tetapi kita masih memerangi kepimpinan kuku besi. Kita mahu meminggirkan ekstremis dan membina Pakistan yang lebih baik," katanya ketika diminta membandingkan dengan kepulangan terakhirnya pada 1986.

Benazir, yang berulang kali menaikkan kemarahan militan dengan kritikan keras yang dilemparkan kepada golongan ekstremis, menepis amaran polis bahawa dia menjadi sasaran bunuh rangkaian al-Qaeda atau Taliban di bumi Pakistan.

"Saya tidak mahu memikirkan mengenai risiko. Saya mahu memikirkan peluang untuk rakyat," kata bekas Perdana Menteri dua kali itu, yang kehilangan abang selepas ditembak ejen perisikan Pakistan dan kematian bapa di tali gantung pada 1979 ketika pemerintahan diktator tentera, Zia ul-Haq.

Beliau, yang kekal mengetuai Parti Rakyat Pakistan (PPP) ketika dalam buangan, bertolak dari Dubai dengan diiringi berpuluh-puluh penyokong dengan memakai skaf menonjolkan warna rasmi partinya, merah, hitam dan hijau.

Ketika meninggalkan kediaman dengan memakai baju tradisi berwarna hijau, seluar putih dan tudung kepala yang padan dengan warna bendera Pakistan, seorang penyokong meletakkan al-Quran di kepalanya sebagai tanda restu.

Lebih 20,000 anggota polis dan tentera, dibantu skuad bom dengan anjing pengesan, meronda laluan yang dijangka dilaluinya dari lapangan terbang. Polis Pakistan berkata, lebih 250,000 penyokong membanjiri jalan raya untuk menantikan kepulangannya. �AFP/AP

0 comments: