Berkorban demi Benazir



SOKONGAN PADU: Penyokong Benazir memenuhi sepanjang jalan dilalui bekas Perdana Menteri Pakistan yang tiba di lapangan terbang Karachi, semalam.

250,000 penyokong berkawal sepanjang jalan ekoran ancaman al-Qaeda

KARACHI: Lebih 250,000 penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, memenuhi jalan raya di bandar raya terbesar Pakistan semalam ketika pasukan keselamatan menukarkan Karachi menjadi kubu untuk menyambut kepulangan Benazir ke tanah airnya selepas lapan tahun hidup dalam buangan.

Anggota separa tentera mengambil alih kawalan di lapangan terbang bagi kepulangan Benazir berikutan amaran militan al-Qaeda mungkin cuba membunuhnya.

Lebih 20,000 anggota tentera dan polis, dibantu skuad bom dengan anjing pengesan, meronda laluan yang dijangka digunakan Benazir dan rombongannya dari lapangan terbang ke makam pengasas Pakistan, Mohammad Ali Jinnah


Pengawal keselamatan bertubuh sasa dengan potret Benazir terpampang pada baju mereka turut berbaris di jalan raya dengan ramai sanggup mati untuk pemimpin kesayangan mereka.

"Saya sayangkan Benazir dan kami di sini untuk melindungi nyawanya. Saya sanggup berkorban nyawa untuknya," kata Abdul Majid Mirani, pengawal keselamatan dengan pertubuhan tentera persendirian seramai 5,000 anggota yang ditugaskan melindunginya.

Bandar raya itu dipenuhi papan tanda besar dihiasi wajah Benazir dan bapanya, Zulfiqar Ali Bhutto, yang dihukum gantung rejim tentera pada 1979. Ia memaparkan slogan termasuk 'permulaan baru bagi Pakistan.'

MOHON PERLINDUNGAN: Benazir berdoa sebaik turun dari pesawat di lapangan terbang Karachi, semalam.

Pegawai kanan polis berkata, lebih 250,000 penyokong setia Benazir muncul dan masih mengetuai perarakan di seluruh Karachi dari belakang lori yang diubah suai khas dan dilengkapi dengan skrin kaca kalis peluru. Partinya berkata, perarakan itu mungkin berlanjutan sehingga 18 jam.

Semua penerbangan ke Karachi dibatalkan untuk memberi laluan kepada pesawat Benazir dari Dubai, dan 2,500 anggota renjer separa tentera mengambil alih kawalan di lapangan terbang, kata pegawai.

Pengebom bunuh diri yang dikaitkan dengan al-Qaeda dan Taliban di zon puak Pakistan bersempadan Afghanistan mungkin cuba menyerang Benazir, kata pegawai Karachi.

Bekas kontena besar yang dicat hitam dan ditanda �polis� digunakan untuk menghalang jalan raya. Banyak sekolah juga ditutup semalam.

Kepulangan Benazir dijangka mengubah corak politik ketika Presiden Pervez Musharraf berhempas pulas mempertahankan popularitinya yang semakin menjunam, dengan mengadakan pilihan raya umum pada Januari 2008.

Musharraf, sebelum ini bersetuju menggugurkan dakwaan rasuah terhadap Benazir yang menjadi punca dia meninggalkan negara lapan tahun lalu. � AFP

0 comments: