Malek dapat RM2.5 juta salah tahan ISA

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


Abd. Malek Hussin.

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta ekoran penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.

Keputusan tersebut menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif Pas itu sebagai bekas tahanan ISA pertama yang berjaya menang dalam samannya terhadap polis dan kerajaan.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Abd. Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, RM500,000 bagi ganti rugi am kecederaan dan perubatan serta RM1 juta untuk ganti rugi teladan.

Ketika membacakan penghakiman setebal 41 muka surat itu, Hishamudin berkata, plaintif tidak pernah dimaklumkan dengan jelas tentang alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, defendan pertama iaitu Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud juga gagal mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.

“Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau-bilau hanya dakwaan kosong tanpa bukti material.

‘‘Cara soal siasat (yang dibuat) jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan Abd. Malek sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat),’’ katanya.

Abd. Malek, 51, ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengah hari sebelumnya.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditahan selama 57 hari sebelum dibebaskan pada 21 November 1998.

Pada Mac 1999, Abd. Malek memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan ASP Borhan dari Cawangan Khas sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam saman itu, beliau mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Abdul Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Berhubung dakwaan Abd. Malek didera semasa di dalam tahanan, kata Hishamudin, plaintif langsung tidak gentar semasa di kandang saksi dan memberi keterangan secara konsisten sebagaimana laporan polis dan dokumen lampiran.

Katanya, keterangan itu disokong laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. P. Vasantha bahawa plaintif mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan seperti pergelangan tangan, betis, paha dan kaki.

Hakim itu turut memberi enam lagi alasan penghakiman termasuk kegagalan polis untuk memasukkan plaintif ke dalam lokap dari pukul 1.30 pagi sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira pukul 4 pagi.

Keterangan

Hishamudin berkata, keterangan mengenai kehadiran Abdul Rahim di IPKKL antara pukul 12 malam dan 3 pagi untuk bermesyuarat tanpa kehadiran Ketua Polis Kuala Lumpur tidak dapat diterimanya.

Dalam penghakimannya, hakim itu turut mempersoalkan tindakan pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang mengambil masa sembilan bulan untuk menolak laporan polis yang dibuat oleh plaintif tentang penderaan yang dialaminya selain plaintif tidak didakwa kerana membuat aduan palsu.

“Percanggahan keterangan defendan pertama dan saksi-saksi lain serta kegagalan meletakkan plaintif di dalam lokap membuktikan kemungkinan plaintif telah didera.

‘‘Saya kesal untuk menegaskan bahawa saya juga membuat kesimpulan penyiasatan yang dijalankan oleh Senior Asisten Komisioner Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham (penipuan semata-mata),’’ katanya.

Semasa membacakan keputusan berhubung ganti rugi teladan, Hishamudin turut membuat kenyataan tegas berhubung tindakan Abdul Rahim dalam mengendalikan kes Abd. Malek.

‘‘Kelakuan keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.

‘‘Ganti rugi teladan penting untuk menunjukkan kebencian mahkamah yang amat sangat terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis dan penyalahgunaan ISA,’’ tegas beliau.

Abd. Malek diwakili peguam R. Sivarasa dan M. Moganambal manakala semua defendan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Iznan Ishak.

Abd. Malek semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, mahkamah akhirnya telah menghukum kerajaan atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis.

‘‘Ini bukan soal wang tetapi soal maruah atas penderitaan dan penderaan yang saya dialami semasa dalam tahanan.

‘‘Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak dan memansuhkan ISA,’’ tambahnya.

Kata Abd. Malek, penghakiman itu bukan sekadar mengenai ganti rugi, tetapi juga membawa pegawai polis yang terlibat ke muka pengadilan sebagai pengajaran.

0 comments: