Rakyat AS bantah perang

Penunjuk perasaan tuntut semua anggota tentera diundurkan dari Iraq

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 100,000 penduduk Amerika Syarikat mengadakan bantahan antiperang di 12 bandar utama negara itu kelmarin, menuntut agar kempen ketenteraan Washington di Iraq ditamatkan.

Bantahan dikenali 'Hari Tindakan Kebangsaan' anjuran pakatan United for Peace and Justice (UPAJ), turut menuntut Kongres tidak memberikan sebarang peruntukan kepada kempen ketenteraan itu.


Penunjuk perasaan yang juga aktivis kesatuan sekerja, turut membangkitkan isu seperti senjata nuklear dan kemungkinan serangan tentera Amerika ke atas Iran.

Stesen televisyen tempatan memaparkan imej orang ramai berarak secara aman di sepanjang jalan raya utam bandar besar seperti New York dan Los Angeles, malah ada yang sanggup meredah hujan demi menyampaikan mesej keamanan itu.

Mereka turut membawa kain rentang dan sepanduk 'Tamatkan Perang Sekarang' dan 'Hentikan (Presiden George W) Bush!'.


Kumpulan UPAJ dalam kenyataan mereka mendakwa seramai 100,000 orang menyertai demonstrasi di bandar utama seperti Boston, Chicago, San Francisco dan Seattle.

Anggaran pihak berkuasa mengenai bilangan sebenar penunjuk perasaan itu tidak diperoleh setakat ini.

"Tamatkan segera kempen serangan ini. Bawa askar Amerika pulang. Kami lebih perlukan wang itu bagi manfaat masyarakat, bukannya kempen peperangan yang tidak sepatutnya berlaku," kata salah seorang anggota kumpulan kempen itu, Leslie Cagan yang ditemubual rangkaian berita NY1.

Setakat kelmarin, angka kematian tentera Amerika di Iraq adalah 3,837 orang, berdasarkan maklumat Pentagon.

Leslie Kielsen, salah seorang anggota UPAJ berkata, peruntukan sebanyak setengah trilion dolar yang dibazirkan bagi kempen ketenteraan itu sepatutnya digunakan bagi tujuan pendidikan, perumahan dan sumbangan makanan kepada golongan miskin.

Di Chicago, dianggarkan 10,000 orang berkumpul di Union Park untuk berarak ke Federal Plaza. Wakil Parti Demokratik Danny Davis dan wakil Parti Republikan Jan Schakowsky turut berucap kepada perhimpunan yang mereka membantah sebarang peruntukan baru kempen di Iraq tanpa sebarang tarikh pengunduran tentera secara rasmi.

"Jangan biarkan pemimpin politik memecah belahkan kita," kata Pengarah Eksekutif Veterans for Peace

Michael McPherson yang juga veteran Perang Teluk. - AFP/Reuters

0 comments: