Oleh Mohd Azis Ngah
RAI TETAMU: Khaled dan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (dua dari kiri) dilayan Khairul (berdiri) pada majlis Aidilfitri di Wangsa Maju, semalam. |
KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan memajukan sektor asas tani secara koperasi agro bagi membolehkan petani berkongsi untuk menjamin keuntungan mampu dicapai melalui peningkatan pengurusan koperasi dengan penubuhan Suruhanjaya Koperasi awal tahun depan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya petani memajukan sektor itu secara koperasi agro sebagai suatu yang tepat pada masanya.
Katanya, koperasi adalah cara terbaik untuk meningkatkan pertumbuhan pertanian yang menjanjikan pulangan lebih baik daripada apa yang diusahakan dan dinikmati petani ketika ini.
“Saranan Perdana Menteri itu memang suatu yang perlu diikuti petani. Kementerian sedang berusaha mewujudkan rantaian nilai ke arah itu kerana ia memang kepakaran koperasi.
“Kita yakin ia mampu meningkatkan pengeluaran petani dan sudah mengenal pasti sektor yang perlu diberi perhatian iaitu perikanan, pekebun kecil dan penanaman padi. Apabila Suruhanjaya Koperasi ini beroperasi awal tahun depan, ia akan membantu meningkatkan pengurusan koperasi.
“Apa yang penting sekarang ialah perubahan mentaliti petani kerana kerajaan tidak boleh campur tangan sepenuhnya, mereka yang akan menentukan kejayaan koperasi,” katanya ketika menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri Penasihat Korporat UDA Holdings Berhad (UDA), Khairul Anwar Rahmat di Wangsa Maju di sini, semalam.
Serentak saranan Abdullah juga, kementerian akan menubuhkan Koperasi Usahawan Asas Tani (Kuat), Khamis ini dengan tumpuan kepada 10 bidang yang boleh diceburi petani mengikut jenis perusahaan dan tanaman yang diusahakan.
Melalui Kuat, petani boleh menyertai koperasi dengan membekalkan hasil mereka walaupun dalam kuantiti kecil kerana koperasi akan mewujudkan rantaian nilai seperti industri sokongan pengeluaran makanan ringan misalnya berasaskan keledek, nanas dan pisang.
Khaled mengulas saranan Perdana Menteri yang mahukan koperasi memfokuskan kepada industri asas tani kerana sudah terbukti ia mampu membantu petani mempelbagaikan aktiviti dalam sektor pertanian secara lebih komersial dan tersusun.
Katanya, suruhanjaya itu adalah satu usaha untuk membangunkan ekonomi negara dengan menyediakan kemudahan dan garis panduan supaya koperasi lebih berdaya saing.
Khaled berkata, pengumuman mengenai pengerusi eksekutif dan timbalan suruhanjaya koperasi akan diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin beberapa hari sebelum ia dilancarkan.
0 comments:
Post a Comment