BUKIT KAYU HITAM 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan golongan petani agar memilih tanaman yang berkualiti tinggi dan mempunyai nilai tambah bagi memajukan lagi sektor pertanian negara.
Menurutnya, mereka digalakkan menyertai projek pertanian komersial seperti tanaman jagung manis berskala besar yang kini diusahakan di Wilayah Pembangunan Koridor Utara (Koridor Utara) di Bukit Tangga di sini, yang dapat menjamin hasil pengeluaran dan pulangan lebih lumayan.
Katanya, usaha seperti itu dapat menyumbang kepada peningkatan hasil tanaman tempatan untuk dipasarkan ke luar negara sekali gus menaikkan harga pasaran bagi produk pertanian negara.
‘‘Pihak pengurusan projek pertanian lain juga dicadangkan supaya membangunkan benih bermutu tinggi bagi memanfaatkan kegunaan kawasan tanaman yang terhad,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke ladang tanaman jagung manis di sini hari ini.
Ladang jagung seluas 323.7 hektar itu merupakan projek usahasama antara kerajaan negeri dengan Sime Darby Berhad menerusi anak syarikatnya, Kedah Agro dan Sime Plantations Sdn. Bhd.
Terdahulu, Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah tiba kira-kira pukul 10.30 pagi dan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Industries Berhad, I-Ting a/l Tan Ah Kee.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid; Pengarah Urusan Sime Plantations Sdn. Bhd., Datuk Azhar Abdul Hamid dan Pengarah Divisyen Tenaga dan Koridor Utara, Datuk Mohd. Shukri Baharom.
Berpotensi
Dalam pada itu, Abdullah berkata, projek tanaman jagung manis di kawasan berkenaan berpotensi untuk diperluaskan lagi kawasannya berdasarkan kepelbagaian produk berkualiti tanaman berkenaan yang dijangka mampu memenuhi keperluan pasaran bermula November ini.
Ladang jagung berkenaan yang mula diusahakan secara komersial sejak akhir Jun lalu telah mengeluarkan hasil lebih 100,000 tongkol jagung di kawasan seluas 80.9 hektar sejak proses menuai bermula bulan lalu.
Benih jagung manis Zea yang digunakan dalam projek itu membolehkan tuaian dilakukan sehingga tiga kali semusim.
Sebanyak 12,000 benih ditanam bagi setiap ekar dan mengambil tempoh antara 60 hingga 70 hari untuk dituai.
Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Agro bagi melatih dan memajukan 600 petani di sekitar daerah Kubang Pasu menerusi program selama lima tahun, bermula 1 Januari 2008.
‘‘Program ini mempunyai visi untuk mengubah tanggapan lapuk terhadap sektor pertanian dengan menggabungkan kaedah pertanian moden dan mengaplikasikan teknik yang dinaik taraf melibatkan pengetahuan agronomi, nutrien, psikologi tanaman, penyakit dan serangga perosak serta pengurusan ladang.
‘‘Semua peserta akan mula menjalani program pensijilan selama enam bulan di ladang Bukit Tangga awal tahun depan sebelum meneruskan latihan lain sebelum boleh bergelar usahawan agro,” katanya.
0 comments:
Post a Comment