'Arwah berat hati lepas abang sertai misi ISS'

SEREMBAN: Allahyarham Sheikh Mustaffa Al Masrie yang banyak menghabiskan masanya dengan membaca, mula berjinak dengan buku berkaitan angkasa lepas selepas abangnya menyertai program angkasawan negara.

Isteri Allahyarham, Hayati Redha, 29, berkata sejak bermulanya program angkasawan Malaysia dan Dr Sheikh Muszaphar menawarkan diri, suaminya juga gemar bercerita mengenai angkasa lepas.

"Di sebalik kegembiraan suami saya apabila abangnya menjadi angkasawan, dia sebenarnya tidak mahu abangnya pergi ke angkasa lepas. Beliau seolah-olah tahu mereka berdua tidak akan dapat berjumpa lagi.

"Jika dia masih hidup, kami suami isteri merancang untuk mendengar cerita pengalaman Dr Sheikh Muszaphar di angkasa lepas," katanya sambil cuba menahan sebak.

Beliau yang bertugas sebagai Eksekutif Akaun memberitahu, suaminya amat mengagumi Dr Sheikh Muszaphar sejak dulu lagi dan ditambah pula dengan kejayaannya menjadi angkasawan.

Hayati berkata, berkata beliau bertemu suaminya pada 2002 di sebuah restoran dengan bertukar senyuman sebelum berkawan selama setahun.

"Pada 2003 kami berkahwin dan dikurniakan dua anak...saya berasa amat terkejut dengan kematian suami tambahan pula anak sulung kami, Aiman amat rapat dengan abahnya.

"Aiman kerap kali bertanya selepas suami koma, di mana abah, di mana abah... malah masih lagi bertanya mengenai arwah selepas beliau meninggal dunia," katanya.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak iaitu Sheikh Aiman Shukor, tiga tahun dan Siti Balkish Shukor, setahun.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin melahirkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa angkasawan negara yang menurutnya sudah berkorban untuk negara.

"Ini adalah kejadian yang amat menyedihkan, pada masa kita sepatutnya menyambut kepulangan wira bangsa, dia terpaksa balik dalam keadaan sedih," katanya ketika ditemui pada upacara pengebumian itu.

Beliau berharap kejadian ini akan menguatkan lagi semangat angkasawan negara itu.

Khairy walaupun berasa dukacita dengan kematian adik angkasawan negara tetapi tetap bersyukur dan bangga kerana Dr Sheikh Muszaphar berjaya dan selamat menjalankan misi dan mengharumkan nama negara.

0 comments: