‘Kami serang bila-bila masa’ -- * Rundingan dengan Iraq gagal * Kesemua pilihan sedang dipertimbang

ANKARA 28 Okt. – Menteri Luar Turki, Ali Babacan menyatakan langkah diplomatik dan tindakan ketenteraan kedua-duanya boleh diambil dalam kempen memerangi pemberontak Kurdis yang berpangkalan di utara Iraq.

Ali menyuarakan kedua-dua pilihan itu selepas rundingan dengan Iraq bagi mengelakkan serangan tentera Turki ke seberang sempadan menemui kegagalan kelmarin.

Ankara menolak cadangan Iraq bagi menangani kegiatan gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai tidak memadai dan tidak akan mendatangkan hasil yang cukup cepat.

Ali yang sedang melawat Iran berkata, Turki sudah hilang sabar dengan pemberontak itu dan mempunyai pelbagai cara untuk bertindak.

“Misalnya kami boleh terus menggunakan saluran diplomatik atau kami boleh mengambil tindakan ketenteraan.

“Kesemua pilihan itu sedang dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh stesen televisyen Iran, Press TV hari ini.

Turki telah menghimpunkan 100,000 askar yang diperkuatkan dengan jet pejuang, helikopter tempur , kereta kebal dan meriam di kawasan sempadan.

Bala tentera itu ditempatkan sebagai persiapan untuk melancarkan operasi besar-besaran ke atas kira-kira 3,000 pemberontak PKK yang menggunakan utara Iraq sebagai pangkalan bagi melancarkan serangan di Turki.

Sementara itu di Ankara, komander tentera Turki berikrar akan membuat pemberontak Kurdis menanggung “kesengsaraan tidak terhingga” sementara Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menyatakan negaranya akan bertempur “apabila perlu” tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa.

Ketua tentera, Jeneral Yasar Buyukanit berkata kelmarin, Turki akan menunggu sehingga Recep menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush di Washington pada 5 November ini sebelum memutuskan untuk melancarkan operasi besar-besaran ke seberang sempadan.

Bagaimanapun Recep berkata semalam, negaranya tidak boleh terikat dengan sebarang tarikh dalam memutuskan sama ada hendak melancarkan serangan.

“Kami akan menyerang tanpa menyatakan bila atau bagaimana kami akan melakukannya,” kata beliau.

Gerila PKK telah membunuh sekurang-kurangnya 42 orang dalam sebulan lalu.

Angka tersebut termasuk kira-kira 30 askar Turki yang terbunuh dalam dua serang hendap.

“Kami bertekad untuk memastikan mereka yang menyebabkan tragedi ini menanggung kepiluan yang tidak terhingga,” kata Yasar.

Kenyataan keras itu disuarakan ketika semangat nasionalis rakyat Turki semakin membara.

Bendera Turki dan gambar pengasas Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk menghiasi puluhan berada bangunan, dipaparkan di bahagian belakang kereta dan dijual oleh penjaja jalanan.

Beribu-ribu penduduk membanjiri jalan raya di beberapa bandar di Turki untuk mengutuk PKK dan mendesak tindakan diambil segera.

Kira-kira 1,000 orang melaungkan “jatuhkan AS, jatuhkan PKK” di luar Kedutaan AS di Ankara.

Mereka menyatakan kesediaan untuk memerangi pemberontak Kurdis itu kerana “kami semua askar.”

– Agensi

0 comments: