KUALA LUMPUR 28 Okt. – Tiada saat yang lebih memilukan apabila terpaksa berpisah dengan anak yang sudah pandai memanggil ‘mama’ dan hanya mampu memberi lambaian lemah tanda tidak mahu berpisah apabila dibawa pergi.
Tetapi itulah yang terpaksa ditanggung Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, yang berjaya mengembalikan ingatan anaknya, Arman Khan Fazal Azim ekoran terpisah sejak tiga bulan tetapi ditakdirkan berpisah semula.
Perpisahan itu berlaku setelah anaknya Arman Khan diserahkan kepada bapanya Fazal atas perintah Mahkamah Tinggi Pakistan.
“Sehingga di saat kami hendak berpisah dia begitu lena tertidur di atas pangkuan ibu saya, Siti Abdullah, 42, sambil memeluk tangan neneknya itu.
“Tetapi apabila diambil untuk diserahkan kembali kepada bapanya, Arman terkejut, menangis dan semakin kuat memeluk tangan ibu saya seolah-olah enggan berpisah dengan saya.
“Ketika itulah saya terdengar dia memanggil saya ‘mama’, ‘mama’. Lebih-lebih lagi apabila bapanya berjaya mengambil semula Arman daripada saya, dia terus meronta-ronta dan mengagah-agah tangan meminta saya mendukungnya. Perasaan saya benar-benar sedih ketika itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Islamabad, Pakistan hari ini.
Siti Nadzirah kini menunggu rayuan kes hak penjagaan anaknya didengar di Mahkamah Tinggi Peshawar pada Selasa ini.
0 comments:
Post a Comment