Hui Yee masih perlukan alat bantuan berjalan

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, masih memerlukan alat bantuan untuk berjalan. Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, walaupun keadaan Hui Yee stabil, namun pihaknya memastikan dia menggunakan alat bantuan itu untuk berjalan.

‘‘Ini kerana dia tidak mempunyai tenaga yang secukupnya untuk berjalan tanpa alat bantuan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Salina, kesihatan Hui Yee sentiasa diawasi oleh para petugas IJN dan dilaporkan kepada doktor dari semasa ke semasa.

“Gadis itu masih ditempatkan di ICU dan selepas doktor yang merawatnya berasa yakin dengan tahap kesihatannya barulah dia akan dipindahkan ke wad biasa.

“Selera Hui Yee juga bertambah baik jika dibandingkan seminggu lalu,” katanya.

Tambah Salina, beliau tidak pasti sama ada Hui Yee dapat balik ke rumah sebelum Tahun Baru Cina pada Januari depan.

Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah jantung pertama yang didermakan kepadanya tidak dapat diterima oleh tubuhnya.

Sebelum itu Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.

0 comments: