|
|
NEW YORK 28 Okt. – Penunjuk perasaan antiperang berarak di 12 bandar raya di Amerika Syarikat (AS) semalam untuk mendesak perang di Iraq ditamatkan segera dan pembiayaan dihentikan oleh Kongres.
“Hari bertindak kebangsaan” tajaan perikatan United for Peace and Justice (UPAJ) menarik penyertaan ribuan penunjuk perasaan di bandar raya dari Boston dan New Orleans hinggalah ke Chicago dan Los Angeles.
Protes itu berlangsung pada hari ulang tahun kelima Senat AS mengundi untuk meluluskan pelancaran perang ke atas Iraq.
Hujan menjejaskan sedikit kehadiran di New York tetapi beribu-ribu penduduk tidak menghiraukannya untuk menyertai protes di Manhattan di mana penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan slogan “Hentikan perang sekarang juga” dan menuntut pembiayaan dihentikan.
Mereka turut menggesa agar usul pendakwaan dibentangkan terhadap Presiden George W. Bush kerana kesalahan “jenayah perang.”
Satu kontinjen penunjuk perasaan memulakan perarakan di New Jersey, merentasi Jambatan George Washington dalam perjalanan ke rapat umum di Union Square, Manhattan di mana veteran antiperang dan keluarga askar di Iraq adalah antara mereka yang berucap.
Seorang penganjur UPAJ, Leslie Kielsen berkata, “setengah trilion” dolar yang dibelanjakan untuk perang itu merupakan wang yang sepatutnya digunakan untuk kemudahan pendidikan, perumahan dan memberi makan kepada penduduk yang kelaparan.
Penunjuk perasaan yang termasuk aktivis kesatuan sekerja turut bersuara mengenai isu-isu seperti senjata nuklear dan kemungkinan tentera AS melakukan campur tangan di Iraq bagi menyekat program nuklearnya.
– Reuters
0 comments:
Post a Comment