Angkasawan Dr Faiz pulang ke tanah air

SEPANG: Angkasawan kedua negara Mejar Dr Faiz Khaleed pulang ke tanah air pagi ini dari Moscow selepas berada di negara itu selama lebih setahun bagi menjalani latihan sebagai angkasawan di pusat latihan kosmonaut Yuri Gagarin di Star City, Moscow.

Dr Faiz yang terpilih sebagai seorang daripada tiga anggota pasukan kedua bagi misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 8.13 pagi.

Kepulangan beliau disambut oleh kedua-dua ibu bapanya Khaleed Abdullah dan Mazenah Mohamad, pegawai kanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Ketua Eksekutif Astronautic Technologies Sdn Bhd (ATSB) Datuk Dr Sabirin Arshad.


ATSB ialah syarikat yang menyediakan keperluan logistik untuk program Angkasawan Negara.

Mengikut jadual asal, Dr Faiz dijangka sampai jam 6.45 pagi ini namun terlewat kerana penerbangan sambungan beliau dari Stockholm, Sweden ditunda akibat cuaca buruk.

Dalam pertemuan singkat dengan pemberita ketika diiringi keluar dari bilik khas lapangan terbang itu, Dr Faiz enggan ditemuramah.

“Kami akan adakan sidang berita tidak lama lagi, tetapi berasa amat gembira dapat pulang ke tanah air,” katanya ringkas sebelum diiringi menaiki kereta Proton Perdana Program Angkasawan Negara untuk ke Hotel Shangri-La, Putrajaya. — Bernama

0 comments: