Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
BERI NASIHAT: Sultan Selangor bersalam dengan bakal jemaah haji selepas merasmikan Kursus Haji Perdana peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, semalam. |
Jemaah kena ikhlas, elak masalah di Tanah Suci: Sultan Selangor
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan lebih 5,000 bakal haji dari negeri itu mempunyai niat yang betul ketika ke Tanah Suci, iaitu semata-mata mahu mencari keredaan Allah.
Baginda bertitah, bakal haji perlu melaksanakan ibadah yang dituntut dengan penuh keikhlasan dan penghayatan serta mengerjakannya bukan sebab lain selain mahu mencari keredaan Allah.
"Dengan adanya sifat ini bakal jemaah akan sentiasa sabar dan bertolak ansur dalam apa jua keadaan walaupun menghadapi kesukaran ketika berada di tengah-tengah jutaan umat Islam lain," titah baginda ketika merasmikan Kursus Haji Perdana peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Sultan Sharafuddin sedih mengenangkan peristiwa tidak sewajarnya berlaku terhadap jemaah haji suatu ketika dulu apabila ramai cedera dan terkorban berikutan sikap segelintir umat Islam yang kurang kefahaman dan gagal menghayati semangat persaudaraan di samping tiada kesabaran apabila menghadapi kesulitan.
"Beta yakin jika semua umat Islam mengamalkan semua suruhan Allah dan mematuhi peraturan yang digariskan, nescaya tidak akan berlaku kejadian yang memilukan dan mencemarkan kesucian Islam," titah baginda.
Baginda bertitah, walaupun datang dari serata pelusuk dunia dengan warna kulit dan bahasa berbeza, semua jemaah sama taraf ketika berada di Tanah Suci dengan memakai ihram.
"Justeru, kita semua hendaklah sentiasa menjaga perpaduan dan hormat menghormati antara satu sama lain dan sentiasa sedar kehadiran kita di Tanah Suci sebagai tetamu Allah," titah baginda.
Sultan Sharafuddin menasihatkan umat Islam mengelak dan menjauhkan diri dari mencaci atau berbual kosong sebaliknya bergaul mesra serta bersopan dengan semua jemaah di samping tolong-menolong.
"Perhimpunan terbesar umat Islam dari seluruh dunia ini menjadi peluang untuk kita mengukuhkan persaudaraan dengan mengambil tahu hal ehwal negara lain dan saling bertukar pendapat supaya kita mampu menghadapi pergolakan dunia dan tipu daya," titah baginda.
0 comments:
Post a Comment