Parti Benazir ingkar arahan - Tidak hirau keputusan kerajaan haramkan perhimpunan besar-besaran

ISLAMABAD 22 Okt. – Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto hari ini berikrar tidak akan menghiraukan arahan kerajaan untuk mengharamkan perhimpunan politik menjelang pilihan raya umum Januari depan.

Kerajaan Presiden Pervez Musharraf merancang untuk mengharamkan perarakan di jalan raya berikutan serangan pengebom berani mati yang membunuh 139 orang semasa perarakan menyambut kepulangan Benazir di Karachi, Jumaat lalu.

Menurut kerajaan, satu tatalaku kempen akan dirangka dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran bagi mengelak berulangnya serangan seumpama itu oleh puak militan.

Sebaliknya kerajaan hanya akan membenarkan pertemuan kecil-kecilan dengan kawalan keselamatan ketat.

“Langkah ini tidak dapat dielakkan memandangkan situasi keselamatan semasa dan kejadian di Karachi.

“Cadangan yang hendak dibawa kepada Kabinet adalah untuk membenarkan pertemuan kecil-kecilan di lokasi yang ditetapkan dan bukan rapat umum besar-besaran yang berlarutan beberapa jam sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai,” kata Timbalan Menteri Penerangan, Tariq Azeem.

Namun begitu, PPP menyelar pengharaman yang dirancangkan itu sebagai keterlaluan dan khuatir kerajaan mahu menyekat kegiatan berkempen.

“Rapat umum adalah sebahagian proses pilihan raya dan kami tidak boleh duduk diam semasa musim pilihan raya,” kata jurucakap PPP, Nazir Dhoki.

Beliau menegaskan para pemimpin perlu mendekati rakyat dan hubungan ini perlu bagi calon dan parti.

Rancangan kerajaan itu turut dibantah oleh parti seorang lagi bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif.

Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) menyifatkannya sebagai percubaan untuk mengatur keputusan pilihan raya tahun depan.

Pemimpin kanan PML-N, Sadiq ul-Farooq mendakwa langkah pengharaman itu adalah sebahagian daripada “rancangan penipuan besar-besaran” bagi memastikan keputusan pengundian nanti memihak kepada Pervez.

“Menjadi hak semua parti politik untuk mengadakan perhimpunan sebelum dan selepas pilihan raya dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kami,” katanya.

– Agensi

0 comments: