‘Isu Dalai Lama jejas hubungan AS-China’

BEIJING 16 Okt. – China hari ini memberi amaran tindakan Kongres Amerika Syarikat (AS) memberi penghormatan kepada Dalai Lama pasti akan “menjejaskan dengan teruk” hubungan hubungan dua hala kedua-dua negara tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar China, Liu Jianchao berkata, Beijing berharap AS akan membetulkan kesilapannya itu dengan membatalkan rancangan memberi anugerah tersebut dan menghentikan sebarang cubaan mencampuri urusan dalaman China.

Dalai Lama dijangka menemui Presiden George W. Bush di White House hari ini dan akan dianugerahkan Pingat Emas Kongres esok dalam satu majlis yang akan turut dihadiri Bush.

Setiausaha Parti Komunis Tibet, Zhang Qingli pula mengkritik Dalai Lama sebagai seorang ahli politik yang mahu memecahbelahkan tanah air ini.

“Penganugerahan tersebut merupakan satu campur tangan yang melampau di dalam urusan dalaman China.

“Kami membangkang sepenuhnya tindakan AS itu,” tegasnya pada satu perjumpaan pada kongres ke-17 parti tersebut.

Beberapa pemimpin asing lain juga semakin berani mengundang kemarahan Beijing dengan membangkitkan isu hak asasi manusia di Tibet yang telah ditawan tentera komunis China pada 1951.

Bulan lalu, Canselor Jerman, Angela Merkel telah dikritik oleh China kerana mengadakan pertemuan dengan Dalai Lama sementara bantahan turut dibuat terhadap tindakan Kanada memberikan taraf kewarganegaraan kehormat kepada pemimpin agama itu.

– AP

0 comments: