Malaysia terkenal sebagai pelindung penjenayah dan pemeras

Abdul Aziz Mustafa
Mon | Oct 22, 07 | 1:51:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh)- Malaysia terkenal sebagai negara pelindung penjenayah dan pemerasan ke atas pekerja miskin, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Di Indonesia, negara jiran dan serumpun, Malaysia terkenal sebagai negara pelindung penjenayah dan pemerasan ke atas pekerja miskin!" katanya.

Menurut beliau, belum pernah berlaku dalam sejarah negara, di mana kebobrokan sistem separah sekarang.

"Apa lagi yang mahu dipertahankan oleh pimpinan Umno-BN? Hanya kuasa dan harta! Seandainya yang diwarwarkan adalah survival Melayu dan negara, ternyata hambar sekali," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau menyifatkan indeks kebebasan media di negara ini "mengaibkan bila kita tergolong bersama negara yang diperintah sang diktator".

"Teliti alasan penghakiman hakim Dato' Hishamuddin dalam kes penahanan Malek Hussin. Tonton video VK Lingam yang memaparkan rasuah dan pembelian hakim oleh tauke judi Vincent Tan dan sekutunya pemimpin umno yang diwakili menteri Adnan (sekarang bergelar Tengku)," kata beliau.

Rasuah merebak, rompakan khazanah negara oleh keluarga dan kroni, kadar jenayah meningkat, ekonomi muram, mutu bahasa dan pendidikan merosot, katanya lagi.

Malah, kata beliau, senarainya tak berkesudahan dan penghinaan merebak hingga keluar negara.

Beliau menggesa rakyat membuat pilihan sama ada tunduk kepada kebenaran atau ugutan.

"Menelan propaganda media yang dikuasai penguasa kaya dan persuah atau menghadham fakta?

"Malah dikalangan kita juga tidak mungkin terlepas dari pujukan habuan wang, kontrak dan kedudukan. Seandainya gagal, ugutan dan tekanan akan bertambah," katanya.

Beliau menggesa rakyat supaya bangun dan menumpukan sepenuh kekuatan, memperkukuh jentera parti dan mengasak terus ke seluruh pelusuk negara.

"Bekerja dari sekarang dengan segala ikhtiar dan kudrat yang ada. Semoga Allah s.w.t. memberkati usaha murni bersama," kata Anwar.

0 comments: