PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas sistem pembelian terus diamalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan selama ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, kajian ini diharap akan dapat mewujudkan satu mekanisme dalam pembelian secara terus yang lebih telus.
“Siasatan BPR mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam sistem berkenaan yang membuka ruang kepada berlakunya rasuah dan penyelewengan. Ini terbukti dalam laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mendedahkan kebanyakan proses pembelian peralatan dibuat secara rundingan terus,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat BPR di sini.
BPR juga akan mencadangkan agar kerajaan menyenaraihitamkan syarikat pembekal terbabit dalam pembekalan peralatan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), yang melanggar peraturan, seperti dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara.
“Bagi mengelakkan berlakunya rasuah dan penyelewengan dalam kontrak kerajaan, BPR ingin mencadangkan supaya satu kajian dibuat bagi memasukkan klausa dalam semua dokumen kontrak kerajaan bagi menjelaskan mengenai kesalahan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.
“Ini bertujuan memberi peringatan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk melakukan rasuah dan penyelewengan. Jika wujudnya pelakuan rasuah di dalam kontrak berkenaan adalah dicadangkan supaya kontrak mereka ditamatkan serta-merta,” kata Ahmad Said.
Hasil siasatan BPR mendapati wujudnya kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 iaitu dakwaan penerimaan rasuah oleh penjawat awam dan juga salahlaku yang membawa kepada tindakan undang-undang dan tatatertib, katanya.
“Selain itu, BPR juga turut mengenal pasti beberapa kelemahan sistem dan prosedur jabatan terbabit dalam pengurusan dana awam yang membuka ruang dan peluang kepada penyelewengan yang merugikan kerajaan,” katanya. — Bernama
0 comments:
Post a Comment