PM kata pembangunan seimbang, hakikatnya sanak-saudaranya sahaja yang kaya

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Oct 23, 07 | 8:34:31 am MYT

Laporan media arus perdana hari ini menyebut bahawa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memastikan pembangunan yang dijalankan di Malaysia dilaksanakan secara seimbang sejajar dengan pendekatan Misi Nasional.

"Kita mahu semua kawasan dalam negara mengalami pembangunan yang dibawa kerajaan BN, baik penduduk di kawasan kampung tradisional, kampung baru ataupun di kawasan estet," kata PM.

"Kawasan-kawasan ini juga perlu diberi perhatian. Kita mahu supaya kawasan ini menikmati pembangunan dan tidak ada mana-mana kawasan yang terbiar," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen di Sungai Siput, Perak semalam.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh rakyat selama ini dan ia akan melakukan apa jua yang terbaik untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju, aman dan selamat untuk rakyat semua kaum dan generasi akan datang.

Disebabkan itu jugalah, katanya, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan BN dalam memajukan negara adalah untuk kebaikan semua kaum dan dinikmati faedahnya secara bersama.

"Amalan dalam BN ialah mengadakan perbincangan dengan ikhlas. Semua ada satu tujuan, (iaitu) apa yang hendak dicadangkan bukan hanya kerana kaum dia (seseorang pemimpin) tetapi untuk kebaikan negara dan seluruh rakyat Malaysia. Ini pendekatan kami," katanya.

"Kita tidak mahu sesuatu kaum itu menjadi masalah. Masalah satu kaum akan jadi masalah nasional. Itu kita tidak mahu sebab itu apa yang kami lakukan itu adalah untuk semua rakyat Malaysia yang akan menikmati kemajuan secara saksama," katanya.

Retorik pilihan raya

Begitupun penulis melihat ianya hanyalah satu lagi retorik 'pilihan raya umum' memandangkan apa yang dikatakan PM itu sebenarnya tidak berlaku secara keseluruhannya.

Beberapa kawasan di pedalaman Sabah dan Sarawak dilaporkan masih belum menerima bekalan asas seperti air dan eletrik, kemudahan sekolah mahupun klinik kesihatan awam.Laporan-laporan media seperti program Bersamamu turut mendedahkan beberapa kisah keciciran dari arus pembangunan yang menimpa rakyat negara ini.

Beberapa laporan akhbar cetak dan eletronik arus perdana pernah mendedahkan kesengsaraan segelintir masyarakat yang duduk di kawasan pedalaman malah di pinggir bandar yang terpinggir dari arus pembangunan negara.

Seingat penulis sekitar tahun 2005 hingga 2006, di Dewan Rakyat sendiri beberapa ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak seperti Dato' Abdul Ghappur Salleh dan Bung Mokhtar Raden mendedahkan isu keciciran rakyat dari arus pembangunan negara yang berlaku di dua negeri tersebut.

Terdapat juga laporan-laporan dan kritikan pedas dari ahli Parlimen yang mempertikai soal pengagihan projek pembangunan yang kata mereka lebih mengutamakan beberapa negeri di Semenanjung berbanding di Sabah dan Sarawak.

Kelantan terpinggir tetapi tetap membangun

Senada dengan kritikan itu ahli Parlimen PAS, Ustaz Ismail Noh juga pernah melahirkan simpati dan kebimbangan terhadap isu ketinggalan dari arus pemodenan dan pembangunan yang dialami oleh rakyat di Sabah dan Sarawak.

Dalam satu perbahasannya di Dewan Rakyat sekitar tahun 2005, Ustaz Ismail menyifatkan ketinggalan yang dialami oleh dua negeri bukan Semenanjung itu lebih parah berbanding Kelantan yang sudah pastinya diskriminasi dari arus pembangunan oleh kerajaan BN ketika itu.

Tajamnya pandangan ahli Parlimen ini ini boleh dibawa dalam senario pembangunan segera yang akan dilakukan di Kelantan melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang akan tertumpu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Mana tidaknya, walaupun Kelantan di perintah PAS, namun sejak ahkir-ahkir ini kerajaan pusat dilihat bersungguh-sungguh menyediakan pelan pembangunan ekonomi di negeri itu bagi memancing undi pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Puji sikap MB Kelantan

Penulis begitu kagum dengan pendirian Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu ulasannya terhadap ECER yang mana beliau memberi komitmen untuk menghadiri perasmian pelan tersebut oleh pada 29 Oktober ini.

Nampaknya ECER sekali lagi akan memeriahkan pengundi di Kelantan dengan limpahan projek pembangunan, namun perlu dibimbangi juga adakah ianya akan berterusan jika keputusan PRU-12 masih memihak kepada PAS.

Berbalik kepada soal perbezaan pembangunan antara Kelantan dengan Sabah dan Sarawak, memandangkan secara majoritinya dua negeri bukan Semenanjung itu diperintah oleh BN, seharusnya pembangunan melimpahruah di sana, namun segalanya seakan menjadi kabur meskipun telah 50 tahun Malaysia merdeka.

Keciciran yang amat ketara hinggakan soal tiadanya kemudahan asas tidak menggambarkan bahawa apa yang dikatakan PM itu benar, malah jika melihat kepada jurang pendapat antara kaum di negara ini cukup menyedihkan.

Kekayaan untuk sanak saudara dan kroni

Meskipun Melayu menjadi tuan tanah di negara ini namun kekayaan sebenar bukanlah berada di tangan Melayu sebaliknya hanya segelintir keparat Melayu di kalangan kroni dan sanak saudara sahaja yang kaya,Selebihnya semuanya di miliki oleh bukan bumiputera.

Sekitar Disember 2006, Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (Gerak) telah membuat satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuntutan mengadakan satu siasatan terhadap Perdana Menteri atas dakwaan mengagihkan kontrak kepada keluarganya.

Berdasarkan laporan yang dibuat, Gerak berpendapat BPR telah mempunyai asas yang cukup untuk memulakan siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya di dalam pengagihan kontrak kerajaan di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, katanya.

Gerak juga mendedahkan satu laporan mengenai 'Military Cookhouse Privatisation Agreement' yang merupakan tender yang dianugerahkan secara luar biasa kepada Kamaluddin Abdullah (anak PM).

Selain itu Gerak juga menyerahkan salinan perjanjian tender kerajaan yang di tandatangan kerajaan Malaysia dan Kamaludin Abdullah.

Dalam laporan yang sama Gerak juga menyerahkan laporan mengenai transaksi penggabungan ECM Libra dan Evenue Capital dan beberapa laporan dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Lebih menyedihkan ada juga laporan yang dibuat media mengenai pembolotan projek oleh seorang rakan yang juga proksi kepada PM, Patrick Lim (Partick Badawi) di beberapa negeri seperti di Terengganu.Hingga kini tiada satupun disiasatan di jalankan ke atas dakwaan yang dibuat.

Mungkin inilah yang dimaksudkan PM bahawa pembangunan yang dibuat kerajaan BN memberi faedah kepada semua, dan semua itu tepat sekali ditujukan kepada sanak saudaranya dan kroninya sahaja yang mendapat agihan kontrak.

0 comments: