Angkasawan cerita detik cemas pendaratan kapal

Laporan A Halim Yusof di Moscow


SELAMAT PULANG: Najib (kanan) berbual dengan Dr Sheikh Muszaphar disaksikan Rosmah dan Sheikh Mustapha di Star City, Moscow.

Kapal hadapi masalah teknikal hingga tersasar 600 kilometer dari tapak pendaratan

DETIK cemas pendaratan kapal angkasa Soyuz yang tersasar 600 kilometer (km) dari luar kawasan ditetapkan, diceritakan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dalam pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang menyambut kepulangan Dr Sheikh Muszaphar di lapangan terbang Chkalovky milik tentera Russia di Star City, kira-kira 40 km dari sini, bagaimanapun berkata, angkasawan pertama negara itu sihat.

"Semangatnya tinggi dan latihan intensif yang dilalui membuatnya mempunyai ketahanan fizikal, mental dan emosi untuk menghadapi keadaan getir termasuk melalui penurunan balistik," katanya.


Kapal angkasa yang membawa Dr Sheikh Muszaphar itu mendarat pada jam 6.37 petang waktu Malaysia kelmarin, tetapi masalah teknikal menyebabkan pendaratan berlaku di kawasan berhampiran Baikonur, kira-kira 600 km dari tapak pendaratan yang disasarkan di bandar Arkylk, Kazakhstan.

Sistem komputer Soyuz dilaporkan telah menukar mod penurunan automatik kepada mod penurunan manual atau balistik yang menyebabkan kapal angkasa itu berputar lebih laju daripada biasa dan krew akan menanggung beban tekanan graviti yang tidak dapat ditanggung orang biasa.

Malah, jika penurunan balistik berlaku sebelum memasuki atmosfera, krew Soyuz mungkin terbunuh.


Najib yang mengetuai delegasi Malaysia menyaksikan pendaratan itu di Pusat Kawalan Misi, Moscow (MCCM), menjelaskan penurunan balistik menyebabkan krew Soyuz menanggung tekanan graviti lebih 8.9G, tetapi latihan intensif yang dilalui angkasawan membolehkan mereka melalui keadaan getir itu.

Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa selama 10 minit bertemu dengan Dr Sheikh Muszaphar. Hadir sama, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis serta Duta Malaysia ke Russia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan, ibu bapa Dr Sheikh Muzaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad serta abangnya Sheikh Ahmad.

Mengenai keadaan spesimen sains yang dibawa balik dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Najib berkata, semuanya baik kecuali kajian penghabluran protein untuk menghasilkan enzim yang dijangka terjejas berikutan pendaratan yang lebih keras daripada penurunan balistik.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada awal pagi semalam, selepas menyambut kepulangan Dr Sheikh Muszaphar di lapangan terbang Chkalovky.

Pesawat yang membawa krew Soyuz tiba di lapangan terbang Chkalovky pada jam 2.58 pagi waktu Malaysia, hampir tiga jam lewat daripada yang dijualkan kerana proses membawa keluar angkasawan dari tapak pendaratan mengambil masa lebih lama.

Sebaik pintu pesawat dibuka, suasana hening di lapangan terbang tentera itu bertukar menjadi penuh emosi dengan tangisan dan laungan ahli keluarga krew Soyuz, terutama ahli keluarga Oleg Kotov dan Fyodor Yurchikhin, dua angkasawan Russia yang sudah berada di ISS sejak enam bulan lalu.

"Saya tidak dapat menahan sebak menunggu kepulangan Mus (Dr Sheikh Muszaphar). Kami lega kerana dapat masuk ke lapangan terbang ini menyambut kepulangannya. Saya tak sabar lagi untuk memeluk dan menciumnya," kata Sheikh Mustapha.

Kawalan keselamatan sangat ketat di Chkalovsky menyebabkan wartawan dan anggota delegasi Malaysia tidak dibenarkan masuk dan menghampiri pesawat.

Apabila pintu pesawat yang berlepas dari Kustanai, Kazakhstan itu dibuka, keluarga angkasawan Russia mula bersorak dan berkerumun, berasak-asak ke pesawat sebaik melihat kelibat Yurchikin yang diikuti komander Soyuz, Kotov menuruni tangga pesawat.

Dr Sheikh Muszaphar dengan dipimpin Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh adalah yang terakhir turun dari pesawat. Meskipun masih kelihatan sukar mengimbangi badan untuk berjalan sendiri, Dr Sheikh Muszaphar masih mampu mengekalkan senyuman dan lambaian selebriti kepada semua yang hadir.

Angkasawan pertama negara kemudian berjabat tangan dengan Najib, Jamaluddin dan Rosmah yang menunggu di depan tangga sebelum berpeluk dengan ibu bapa dan abangnya.

Pertemuan itu diadakan secara ringkas kerana angkasawan terbabit segera dibawa ke dalam bas yang menunggu untuk perjalanan lima minit ke Pusat Latihan Angkasawan Gagarin (GCTC) atau lebih dikenali sebagai Star City.

Najib, Rosmah dan Jamaluddin kemudian diberi penghargaan untuk bertemu Dr Sheikh Muszaphar yang mula melalui proses kuarantin di Star City. Ketibaan krew dan rombongan ke institut yang melahirkan ribuan angkasawan Russia itu pada jam 3.24 pagi Malaysia, disambut persembahan muzik daripada pancaragam tentera.

Sebagai tanda kesejahteraan dan meraikan kejayaan misi, krew Soyuz disambut dan diminta menjamah sejenis roti Russia dan diberikan tiga kuntum bunga.

0 comments: