Dua pegawai KBS antara empat dituduh rasuah

KOTA BHARU: Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan bersama seorang wakil Universiti Teknologi Malaysia serta seorang wanita pengurus projek syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini kerana dituduh mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok pada 28 Januari 2003.

Ismail Ibrahim, 51, wakil Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Kamaruzaman Md Ali, 38, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Di satu lagi Mahkamah Sesyen, Loh Hong Wai 31, Penolong Pengarah Kemahiran IKBN Bachok, dan pengurus projek Syarikat Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Siu Le, 38, juga mengaku bersalah ketika dihadapkan di hadapan Hakim Gulam Muhiaddeen Abdul Aziz kerana pertuduhan yang sama yang dibacakan secara berasingan.


Pegawai Pendakwa dari Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Zamal Abdul Rahman mewakili pihak mendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ismail yang berasal dari Batu Pahat, Johor, didakwa bersubahat dengan Kamaruzaman dan Hong Wai menandatangani borang 4E KD/BK/4E1002 Sijil Penerimaan Muktamad yang mengandungi butiran palsu berhubung pembelian kamera digital.

Ismail, yang diwakili peguam Wan Abdullah Thani Wan Yusof, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.


Kamaruzaman, yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran di Sabah, pula didakwa menandatangani borang sama yang mengandungi butiran palsu bertujuan untuk mengelirukan prinsipal.

Kamaruzaman, yang diwakili peguam Rozihan Othman, dikenakan ikan jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Che Mohamad Zulkifly menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

Di mahkamah lain pula, Hong Wai didakwa menandatangani dokumen yang mengandungi butiran palsu bertujuan untuk mengelirukan prinsipal juga berhubung pembelian peralatan berkenaan.

Hong Wai, yang diwakili peguam Zamzuri Mohd Husin, dikenakan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Loh Siu Le, didakwa bersubahat dengan Kamaruzaman dan Hong Wai menandatangani dokumen yang mempunyai maklumat palsu.

Siu Le yang diwakili peguam Indran Rajalingam dibebaskan dnegan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Gulam Muhiaddeen menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari, tidak lebih 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Kesemua tertuduh ditahan BPR setelah disyaki terlibat dalam kes penyelewengan pembelian peralatan dan kelengkapan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini. — Bernama

0 comments: