Laporan Abdul Razak Raaff
Perlembagaan Persekutuan mengenai pentadbiran berasingan tak perlu dipinda
KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan wujudnya krisis keyakinan terhadap sistem kehakiman seperti didakwa pembangkang, sebaliknya menegaskan kuasa mahkamah sivil dan syariah ditadbir secara berasingan dan kewujudannya adalah setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata mahkamah sivil dan syariah mendengar kes mengikut bidang kuasa secara jelas dan teratur.
Malah, katanya, Perlembagaan Persekutuan berhubung bidang kuasa kedua-dua mahkamah itu tidak perlu dipinda dan kerajaan berpendapat kajian wajar dibuat terhadap undang-undang lain yang berkenaan dalam soal memeluk agama Islam oleh orang bukan Islam.
"Antara perkara lain yang perlu dikaji termasuk pembubaran perkahwinan, hak jagaan anak, nafkah isteri dan anak, pewarisan dan penentuan status agama seseorang yang sudah meninggal dunia.
"Soal memeluk agama Islam ini satu perkara yang `extra legal' dan berkaitan kepercayaan dan tidak boleh diselesaikan dengan cara undang-undang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (BN-Grik) yang ingin tahu perkara yang menunjukkan pertindihan kuasa antara kedua-dua mahkamah itu dan kemungkinan Perlembagaan Persekutuan dipinda pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.
Justeru, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara diarah membuat kajian berhubung perkara itu dengan membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji soal memeluk agama Islam oleh pasangan bukan Islam," katanya.
Nazri berkata, jawatankuasa khas itu dianggotai pelbagai kementerian, jabatan, badan bukan kerajaan (NGO), pakar akademik, pertubuhan agama dan tokoh ulama.
"Proses perundangan ini berjalan terus kerana ia perkara sensitif. Kita yakin satu kaedah mungkin dapat diwujudkan bagi menentukan pemegangan agama oleh seseorang," katanya.
Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai cadangan memansuhkan Common Law dan digantikan dengan undang-undang Islam seperti dicadangkan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Nazri berkata, Ketua Hakim Negara tidak membuat kenyataan sedemikian.
0 comments:
Post a Comment