Kebakaran hutan ancam rumah artis Hollywood

LOS ANGELES: Kebakaran hutan di 12 kawasan di selatan California membunuh seorang penduduk, memaksa beribu-ribu lagi berpindah serta mengancam kediaman bintang Hollywood.

Angin kencang membantu kebakaran merebak dan mendekati kediaman pelakon termasuk Jennifer Aniston, Pierce Brosnan, Mel Gibson dan Olivia Newton-John.

Kira-kira 700 anggota bomba dilaporkan bertungkus lumus di kawasan Malibu dekat kediaman pelakon terkenal itu dengan angin kencang 100 kilometer sejam diramal berterusan dua hari ketika kawasan terbabit dilanda kemarau.


Kebakaran di Malibu dilaporkan seluas 900 hektar dan memusnahkan 10 bangunan.

Di sebelah selatan iaitu di San Diego County, pegawai berkata, seorang penduduk maut dan 17 lagi cedera termasuk empat anggota bomba.

Di situ, kebakaran merebak seluas 5,700 hektar dan kepulan asap memenuhi ruang udara pelabuhan San Diego.

Di satu lagi kawasan yang dilanda kebakaran di San Diego, 36,000 penduduk bandar Ramona terpaksa dipindahkan.

Gabenor California, Arnold Schwarzenegger mengisytiharkan perintah darurat meliputi tujuh daerah mulai dari Santa Barbara di sebelah utara hingga ke sempadan Mexico.

Ketua Bomba Los Angeles County, Michael Freeman berkata, kebakaran itu dijangka berlarutan beberapa hari dan beribu-ribu kediaman terancam.

Freeman berkata, 300 lagi anggota bomba tambahan mungkin sampai tidak lama lagi untuk membantu memadamkan kebakran.

Punca kebakaran belum dipastikan tetapi ada kemungkinan ia disebabkan kabel elektrik tumbang kerana angin kencang, kata Freeman. – Reuters/AP

0 comments: