Oleh: RIDZUAN RAMLI
LANGKAWI 29 Sept. – Pihak pengurusan Underwater World Langkawi (UWL) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana pihak yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek berhati kejam membunuh ratusan ikan, Selasa lalu.
Pengurus Besarnya, Mohd. Hafizuddin Abdullah berkata, sehingga kini semua pihak masih cuba mengesan penjenayah yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan meracun spesies hidupan laut dan air tawar menggunakan sejenis bahan kimia.
‘‘Jabatan Perikanan telah mengambil beberapa sampel bangkai spesies ikan untuk melakukan ujian mengenal pasti punca sebenar kematian hidupan marin berkenaan selain bahan yang digunakan untuk mencemari tangki air.
‘‘Sehingga kini, siasatan polis masih diteruskan dan beberapa orang kakitangan UWL turut disoal siasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, kata Mohd. Hafizuddin, kesemua bangkai ikan yang mereput telah ditanam di sebuah lubang besar berhampiran bangunan UWL manakala beberapa spesies tertentu kini disimpan untuk diawet sebagai pameran.
Pada masa yang sama, kejadian 25 September lalu itu turut mengejutkan para pengunjung terutama murid-murid sekolah yang melawat akuarium itu untuk menyaksikan keunikan pelbagai spesis hidupan laut.
Seorang murid Tahun Enam, Nur Haqiza Mohd. Shukri terkejut apabila mengetahui terowong akuarium yang ingin dikunjunginya hari ini, ditutup kerana semua ikan termasuk pari dan jerung mati angkara perbuatan khianat.
‘‘Saya pernah datang bersama keluarga, masih ingat lagi ikan jerung dan pari yang besar berenang di atas kepala kami tetapi saya amat hampa apabila cikgu beritahu ikan sudah mati kerana diracun,” ujar kanak-kanak itu sedih.
Walaupun begitu, murid berkenaan serta ribuan pelajar sekolah yang mengunjungi akuarium laut terbesar di Asia berkenaan masih terhibur menyaksikan gelagat penguin Rockhopper dan Black Footed yang merupakan antara tarikan UWL.
Sementara itu, seorang guru, Mohd. Nur Thaqif Rizwan, 38, yang mengiringi rombongan pelajar ke UWL berharap agar pihak berkenaan dapat memulihkan semula akuarium berkenaan lebih-lebih lagi menjelang cuti sekolah tidak lama lagi.
‘‘UWL merupakan antara tarikan utama Langkawi dan pelancong dari dalam dan luar negara datang ke sini untuk melihat keunikan hidupan marin dan air tawar yang pelbagai spesies,” katanya.
0 comments:
Post a Comment