Oleh Azman Abdul Hamid
MASYARAKAT antarabangsa tentunya akan memberi perhatian kepada sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dua hari lagi bagi membincangkan kekacauan di Myanmar.
Setakat Jumaat lalu, 53 negara sudah menurunkan tandatangan untuk menyertai sidang itu ketika pihak berkuasa Yangon memperketat kawalan di 25 bandar dengan menempatkan askar bagi menyekat protes diketuai golongan sami Buddha
Setakat artikel ini ditulis, 13 orang dilaporkan terbunuh dalam bantahan terbesar sejak 20 tahun lalu ketika menuntut tentera menamatkan pemerintahannya selama 45 tahun itu. Selain itu, 1,000 sami dikatakan sudah ditahan, manakala beberapa lagi mati ditembak askar. Myanmar dilaporkan ada kira-kira 500,000 sami yang dipandang mulia penduduknya.
Sejak beberapa hari lalu, kecaman demi kecaman dilemparkan terhadap junta tentera yang memerintah, ia wajar selepas seorang jurugambar Jepun maut terkena tembakan askar dan laporan berdasarkan gambar satelit mengatakan ada kampung dibakar, penduduk dipaksa berpindah dan pencabulan hak asasi manusia berlaku bagi menyekat penduduk menyertai protes.
Selain itu, tunjuk perasaan yang diadakan di Canberra menyaksikan pembantah bergaduh dengan polis Australia di luar Kedutaan Myanmar di bandar itu.
Tunjuk perasaan sama turut diadakan di luar Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, Jakarta, Manila, Tokyo, London, Paris, Geneva dan Rome.
Menteri Luar 10 negara anggota Asean yang bermesyuarat di PBB di New York menyuarakan rasa kesal kerana kekerasan digunakan tentera terhadap penunjuk perasaan Myanmar dan menggesa Yangon menghentikannya. Menteri Luar Asean memaklumkan pendirian mereka itu kepada rakan sejawatan dari Myanmar, Nyan Win atas perkembangan di negaranya.
Di kalangan pemimpin antarabangsa, Presiden Filipina, Gloria Arroyo menggesa pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dan tahanan politik lain dibebaskan.
Di Washington, pentadbiran Presiden George W Bush mengarahkan aset pemimpin tentera Myanmar, Than Shwe dan 13 pegawai kanannya, dibekukan.
Jabatan Negara pula menyenaraikan lebih ramai pegawai, penyokong tentera dan keluarga pemimpin negara itu dalam senarai larangan masuk ke Amerika.
Bush menggesa semua negara yang mempunyai pengaruh ke atas Myanmar memberi sokongan penuh kepada kempen dunia menghentikan kekerasan askar ke atas penunjuk perasaan di negara itu.
Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice pula berkata: "Saya jamin, Amerika berusaha mengekalkan fokus antarabangsa ke atas ketidakadilan di Yangon."
Pesuruhjaya Hubungan Luar Kesatuan Eropah (EU), Benita Ferrero-Waldner pula mendesak Yangon tidak menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Bagaimanapun, di sebalik kecaman mereka dan pembekuan aset oleh Amerika, tanda-tanda menunjukkan langkah drastik seperti campur tangan politik atau tentera tidak akan berlaku.
Bush memberitahu Menteri Luar China, Yang Jiechi, bahawa beliau berharap China akan menggunakan pengaruhnya bagi membawa peralihan pemerintahan demokrasi secara aman di Myanmar.
"Sekatan bukan langkah terbaik pada masa ini. Kita perlu fikir apakah cara terbaik menyelesaikannya," kata Perdana Menteri baru Jepun, Yasuo Fukuda.
Katanya lagi, Timbalan Menteri Luarnya, Mitoji Yabunaka dijadual melawat Myanmar bagi menyuarakan kemarahan Tokyo mengenai pembunuhan jurugambar Jepun selain mendesak siasatan penuh dijalankan.
"Kami harap, kerajaan Myanmar akan memberi penjelasan penuh mengenai perkara itu," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao memberitahu Fukuda bahawa Beijing sedang berusaha menenangkan keadaan.
Fukuda dan Jiabao juga dilaporkan bersetuju bekerjasama mencari penyelesaian isu Myanmar apabila bertemu di luar sidang Asean bulan November nanti.
Namun, di sebalik semua laporan mengenai bantahan dan kekerasan tentera Myanmar atau kecaman dunia terhadap junta tentera yang memerintah, satu perkara yang tidak disebut ialah bagaimana dan dalam bentuk apakah penyelesaian masalah dan isu demokrasi dapat dilaksanakan di negara anggota Asean itu.
Semua pihak mungkin sudah maklum bahawa apa yang berlaku di Myanmar seolah-olah mengulangi apa yang berlaku di Pakistan, meskipun faktor terbabit berbeza.
Pemerintahan Presiden Pervez Musharraf dibantah kerana beliau enggan melepaskan jawatannya sebagai pemerintah tentera sedangkan di Myanmar, tentera yang memerintah enggan mengambil langkah bermakna melaksanakan demokrasi.
Persamaannya hanya satu iaitu negara diperintah 'orang tentera' meskipun mengikuti landasan demokrasi, sukar diterima seperti dihadapi pemimpin tentera di Thailand ketika ini.
Selain itu, sepanjang pengalaman Asean yang mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman anggotanya sebelum memperkenal dasar dialog membina dengan Yangon, pemimpin tenteranya nyata enggan menyerahkan kuasa kepada pemimpin awam meskipun bersetuju untuk melaksanakan demokrasi.
Ramai yang melihat pemenang Nobel Keamanan 1991, Aung San Suu Kyi perlu diberi peluang menggerakkan demokrasi di Myanmar.
Di sebalik inisiatif EU dan PBB, pemimpin tentera Myanmar yang diketuai Than Shwe belum memberi reaksi kepada usaha diplomatik itu, tetapi pada masa sama, askarnya mengawal kota utama, memukul penunjuk perasaan, menahan aktivis prodemokrasi, menyerbu kuil dan menutup capaian internet.
Namun, petikan laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) boleh dijadikan kesimpulan hala tuju Myanmar selepas ini.
�Adakah pemimpin tentera Myanmar akan mendengar rayuan berulang kali supaya tidak menggunakan kekerasan dan dialog?
�Ataupun, mereka akan terus mengganas ke atas penduduk hingga tiada lagi bantahan dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti dilakukan pada 1988?
INFO: Politik di Myanmar
- Julai-Ogos 1998: Suu Kyi melakukan bantahan di tepi jalan selepas keretanya ditahan di luar Yangon. Pelajar melakukan bantahan selepas itu.
- Mei 2003: Suu Kyi dan ramai pemimpin NLD ditahan selepas penyokongnya bertempur dengan askar. Kerajaan menyatakan, empat maut dan 50 lagi cedera. Suu Kyi terus ditahan.
- Disember 2005: Beberapa batalion tentera membedil kampung dan tempat persembunyian pelarian di negeri Karenni dan Karen, memaksa 3,000 orang lari dari rumah.
- Mac-April 2006: Tentera melancarkan kempen terbesar dalam tempoh 10 tahun bagi menamatkan pemberontakan 10 tahun oleh gerila Karen.
- Ogos-September 2007: Lonjakan harga minyak mencetuskan bantahan terbesar dalam tempoh 20 tahun oleh sami Buddha dan orang awam di Yangon dan bandar lain.
0 comments:
Post a Comment