Oleh Azhar Abu Samah di New York
Malaysia mahu junta Yangon terima diplomasi Asean henti rusuhan
MALAYSIA semalam meminta junta tentera Myanmar membebaskan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi dan tahanan politik yang lain di Myanmar.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-62 di sini, semalam.
Abdullah berkata, sebagai anggota Asean, Malaysia tidak menjalankan kewajipannya jika mengabaikan keadaan di Myanmar.
"Asean sudah melakukan apa yang terbaik bagi menggalakkan Myanmar ke arah proses pemulihan demokrasi," katanya sambil menambah kegagalan Myanmar berbuat demikian mengakibatkan berlaku tunjuk perasaan pada masa ini.
Negara itu terus bergolak apabila penunjuk perasaan mengadakan bantahan setiap hari sejak beberapa hari lalu, dengan sekurang-kurangnya sembilan penunjuk perasaan terbunuh apabila polis dan tentera bertindak keras meleraikan bantahan itu.
Abdullah berkata, Malaysia bersama negara anggota Asean yang lain tidak setuju dengan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak tentera kerajaan Myanmar bagi meleraikan bantahan masyarakat awam.
Katanya, Malaysia menyokong usaha PBB menghantar Setiausaha Rendah PBB Untuk Hal Ehwal Politik, Ibrahim Gambari ke Myanmar.
Mengenai pertemuan dua hala dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam, beliau berkata, Malaysia menyatakan pendirian tidak mahu melihat Palestin dipecah dua iaitu Gaza dikuasai Hamas dan Tebing Barat dimiliki Fatah, sebaliknya mahu Palestin kekal sebagai sebuah negara berdaulat.
"Malaysia akan hadir menyertai persidangan keamanan mengenai Palestin pada November ini dan menyatakan pendiriannya supaya Palestin tidak dibahagi dua," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lawatannya ke PBB, beliau berkata, pertemuannya dengan beberapa pemimpin penting negara membuahkan hasil, termasuk mengemukakan pandangan mengenai perkembangan terkini dunia di PBB.
Sementara itu, di PEKAN, Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia di Myanmar tidak mencampuri sebarang urusan dalaman di negara itu, termasuk menyertai tunjuk perasaan prodemokrasi yang kini semakin membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri juga tidak menggalakkan rakyat berkunjung ke Myanmar berikutan kekacauan yang masih tidak reda di negara itu.
"Rakyat perlu berhati-hati dan berfikir terlebih dulu mengenai keselamatan mereka sebelum membuat keputusan melawat negara itu," katanya.
Najib juga berkata, setakat ini keadaan belum terdesak untuk memanggil pulang Duta Malaysia Ke Myanmar, Datuk Mohamad Noh.
0 comments:
Post a Comment