'Bantu cari pembunuh'

GEORGETOWN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap polis dapat menyiasat dengan adil dan menyeluruh terhadap suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Timbalan Menterinya, Datuk G Palanivel, berkata kementeriannya percaya penahanan lima suspek itu dapat membantu polis mencari pembunuh sebenar Nurin Jazlin sekali gus mengheretnya ke muka pengadilan.

"Kes itu masih dalam siasatan polis namun kementerian berharap polis dapat menyiasat dengan menyeluruh suspek yang ditahan supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Celik Komputer Cyberstart di Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, semalam.

Polis meraih kejayaan pertama dalam siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin apabila menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri hasil tiga serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor, malam Jumaat lalu.

Serbuan dan penahanan dibuat pasukan khas melalui 'Ops Sunti' itu dipercayai hasil pemantauan rapi polis terhadap beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bapa mangsa, Jazimin Abd Jalil.

0 comments: